Mesti menang pingat emas Olimpik - PM

Mesti menang pingat emas Olimpik – PM

 ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di MSN, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar para atlet negara supaya meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas di Olimpik 2024 yang berlangsung di Paris tahun depan.

Perdana Menteri berkata, ia adalah satu cabaran besar buat para atlet di bawah teraju Kementerian Belia dan Sukan dan persatuan-persatuan sukan namun menyifatkannya tidak mustahil untuk dicapai.

“Cuba capai sekurang-kurangnya satu pingat emas di Olimpik. Jika tidak, saya dah bagi amaran. 

“Kita usaha sebaik mungkin, cuba sedaya upaya… tiada tolak ansur tetapi kita harus menerima dalam apa jua keputusan nanti,” ketika hadir Anugerah Sukan Negara 2021 di sini hari ini.

Di sebalik sasaran itu, beliau tidak melupakan sokongan yang diperlukan oleh bidang sukan terutama dalam soal kemudahan dan peruntukan.

“Bagi pihak kerajaan, mesti ditambah usaha dan kemudahan yang lebih baik dan Malaysia tingkatkan usaha,” katanya.

Pada masa sama, Anwar memberi sokongan penuh kepada Menteri dan Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh serta Adam Adli Abd. Halim.

“Saya pilih Hannah dan Adam menerajui dan mengemudi kementerian sebagai suatu cabaran bagi tokoh muda, bagaimana dapat menarik dan memberi semangat baharu kepada anak muda dan belia terutama dalam bidang sukan.

“Tentunya mereka terpaksa menghadapi kerenah pemimpin-pemimpin sukan, sebahagian orang besar seperti Tan Sri Norza Zakaria dan sebagainya. Saya kata semoga berjaya kerana sektor sukan terdiri daripada orang yang banyak pengalaman dan kemahiran membantu penjawat awam dan pegawai bagi jalinkan hubungan lebih akrab,” katanya.

Beliau turut menghargai bidang sukan kerana banyak menyumbang kepada perpaduan negara.

“Kalau anak Malaysia menang kita gembira, kalau dia anak Melayu, anak Cina menang, ia kegembiraan besar bagi seluruh rakyat Malaysia, ini kekuatan kita.

“Tiap kali menang, kita tidak tanya dia dari Sarawak atau dari Perlis. Kita tak tanya dia Melayu atau Cina, Islam atau hindu, ini kebanggaan bagi negara Malaysia yang tercinta,” katanya.

Justeru, katanya, sumbangan ahli sukan tidak boleh diremehkan kerana mereka sentiasa mengejar kejayaan.

“Mereka sentiasa berusaha untuk berjaya, mereka tak mungkin cemerlang tanpa usaha atau menjaga kebajikan atlet, memberi kasih sayang dan kebajikan kepada mereka.

“Sebab itu, bila kita dengar ada satu dua keterlanjuran yang pihak diamanahkan menjaga anak sukan, saya bersetuju langkah diambil oleh menteri kita, ia memberi mesej jelas bahawa kita tidak boleh ansur dalam apa-apa tindakan mengenai anak-anak yang dalam latihan kerana mereka anak-anak kita.

“Tahniah anak-anak yang dah berjuang, berapa jam mereka berlatih, kita patut hargai usaha mereka dan mengharapkan sesuatu lebih baik,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.