Dua beradik proses, edar dadah ditahan dalam serbuan makmal haram - Utusan Malaysia

Dua beradik proses, edar dadah ditahan dalam serbuan makmal haram

MOHD. Yusri Hassan Basri (kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bandar Barat, Kampar dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tembelang dua beradik menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bandar Barat, Kampar sebagai makmal memproses dadah terbongkar apabila mereka diberkas polis, kelmarin.

Lelaki berusia 44 dan 45 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam serbuan pada pukul 4 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan di rumah sewa kedua-dua suspek itu membawa penemuan sebanyak 40.14 kilogram (kg) dadah disyaki heroin, kafein (11.05kg) dan cecair disyaki dadah (4kg).

Katanya, turut ditemukan di premis itu bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM665,782. Dadah berkenaan dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh seramai 85,000 penagih.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua beradik itu positif dadah jenis morfin. Suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak Disember lalu dan menyewa rumah berkenaan sebagai makmal memproses dadah.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua beradik yang tidak bekerja itu telah selesai ‘memasak’ dadah berkenaan.

“Tangkapan ke atas kedua-dua suspek turut membongkar helah mereka yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan lambang ‘VVIP’ pada kereta jenis Honda City.

“Tindakan menyita kenderaan yang dianggarkan bernilai RM50,000 itu diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Isnin depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya