Polis bongkar makmal proses dadah bernilai RM86.78 juta

Polis bongkar makmal proses dadah bernilai RM86.78 juta

HUSSEIN Omar Khan dalam sidang akhbar kejayaan polis membongkar sebuah makmal pemprosesan dan penyimpanan dadah di IPK Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis berjaya membongkar sebuah makmal pemprosesan dan penyimpanan dadah jenis Methylene-dioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai kira-kira RM86.78 juta dalam tiga siri serbuan di sekitar Melaka, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi hasil risikan itu membawa kepada penahanan lima individu tempatan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 55 tahun.

Menurut beliau, serbuan pertama dijalankan pada 6 Mac lalu di sebuah rumah teres di Taman Puncak Bertam yang membawa kepada penahanan tiga suspek serta rampasan 12 bungkusan dadah disyaki Erimin 5 seberat 1.73 kilogram (kg), selain beberapa telefon bimbit, buku nota dan sebuah komputer riba.

“Susulan tangkapan tersebut, polis melancarkan serbuan kedua pada 8 Mac di sekitar Taman Kenanga dan menahan dua lagi suspek. 

“Hasil pemeriksaan menemukan cecair dan serbuk disyaki MDMA selain sejumlah kecil pil Erimin 5, pil ekstasi serta ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Menurutnya, pada hari sama polis turut menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Satu Krubong yang dipercayai dijadikan makmal memproses dan stor penyimpanan dadah oleh sindiket berkenaan.

Dalam serbuan itu katanya, polis merampas sejumlah besar dadah termasuk 274.08 kg cecair disyaki MDMA dan 303.85 kg serbuk disyaki MDMA, selain pil ekstasi, Erimin 5 serta ketamin.

Jelasnya, secara keseluruhan, polis merampas 284.96 kg cecair disyaki MDMA, 306.60 kg serbuk disyaki MDMA, 0.17 kg pil ekstasi, 1.88 kg pil Erimin 5 dan 1.01 kg ketamin.

Hussein berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu menjejaskan sehingga 1.1 juta pengguna.

“Siasatan mendapati suspek pertama dan kedua berperanan sebagai koordinator sindiket, suspek ketiga sebagai penjaga stor, manakala dua lagi suspek bertindak sebagai ‘runner’ untuk pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari tahun ini dengan modus operandi menyewa rumah sebagai makmal haram untuk memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, polis turut menyita harta bernilai kira-kira RM38,000 melibatkan sebuah kereta Proton Iriz dan sebuah motosikal Yamaha Y15ZR.

Menurutnya, kejayaan itu hasil risikan berterusan pihak JSJN serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat kepada polis.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah kerana jenayah ini memberi kesan besar kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×