KUALA SELANGOR: Serbuan terhadap sebuah kilang dekat kawasan perindustrian Eco Business Park, Bandar Puncak Alam di sini sejak 15 Ogos lalu membawa kepada rampasan dadah jenis sintetik termasuk ekstasi dan pil yaba terbesar bernilai RM2.41 bilion.
Rampasan tersebut dibuat dekat premis yang dijadikan makmal dadah itu turut dianggap terbesar apabila keseluruhan 13.17 tan metrik bahan terlarang yang terdiri daripada serbuk dan cecair Methylenedioxyamphetamine (MDMA), ganja, pil erimin 5, ketamin, pil yaba dan metamfetamin.
Turut dirampas adalah peralatan lain dan pelbagai jenis mesin yang digunakan untuk memproses bahan-bahan untuk dijadikan dadah tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua bahan termasuk mesin-mesin tersebut dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari China melalui Pelabuhan Klang.
Beliau berkata, sindiket terlibat dengan pemprosesan dadah tersebut didakwa membuat pengisytiharan palsu terhadap kargo yang membawa bahan-bahan asas terbabit.
“Menerusi risikan, polis mengesan bahan-bahan tersebut termasuk alamat penghantarannya lalu membawa kepada penemuan premis dekat Bandar Puncak Alam itu yang sudah beroperasi dalam tempoh setahun.
“Susulan itu, polis bersama Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membuat risikan terhadap premis terbabit dalam tempoh tiga hingga enam bulan sebelum akhirnya serbuan dibuat pada dua minggu lalu,” katanya dalam dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Sitaan dan rampasan lain
Tambah Hussein, premis yang merupakan kilang berkembar itu disewa oleh sindiket pada kadar RM9,000 hingga RM10,000 sebulan.
“Polis kemudian menyita premis terbabit dan pemilik asal kilang berkenaan turut disiasat kerana dia sepatutnya mengetahui aktiviti perniagaan yang dilakukan di kilang miliknya,” jelasnya.
Beliau berkata turut dirampas di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutkan Harta) 1988 adalah lima buah kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda City, Lexus GSE20, Proton Persona dan Perodua Myvi yang nilai keseluruhannya dianggarkan RM276,000.
Dalam serbuan tersebut, polis menahan lima individu berusia 29 hingga 43 tahun terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua lelaki dan wanita warga asing dipercayai dari Taiwan.
“Selain operasi pemprosesan dadah, sindiket juga terlibat dalam aktiviti pengedaran antara modus operandi yang digunakan termasuk ‘keldai dadah’ sama ada dalam bentuk bunga ganja.
“Siasatan juga dilakukan bagi mengenal pasti jika terdapat penglibatan orang dalam agensi penguat kuasa bagaimana kesemua bahan tersebut boleh lepas masuk ke negara ini,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua tangkapan dituduh di mahkamah pada 21 dan 27 Ogos lalu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Siasatan polis juga mempercayai pemprosesan dadah yang besar itu juga bagi memenuhi permintaan dari negara-negara jiran dan Eropah.
Ketua sindiket ditembak mati
Dalam pada itu, Hussein turut memaklumkan ketua sindiket operasi makmal dadah itu adalah lelaki tempatan berusia 52 tahun yang ditembak mati dalam satu serbuan di sebuah rumah di Garden Homes, Seremban 2 pada Sabtu lalu.
“Ketua sindiket adalah lelaki yang ditembak mati beberapa hari lalu. Dia ada kaitan dengan serbuan pada hari tersebut.
“Kita percaya lelaki terbabit yang mengatur dari segi penyewaan premis, membawa masuk precursors (bahan-bahan asas) dan peralatan dari luar negara. Dia juga merekrut ahli-ahli sindiket yang lain,” tambahnya.
Malah, beliau juga memberitahu sindiket turut mempunyai kaitan dengan kes seorang lelaki diselamatkan polis pada Julai lalu seperti dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar.
Menurut M. Kumar, mangsa kes culik membabitkan tuntutan tebusan RM7 juta itu kemudian ditahan oleh JSJN dan disiasat di bawah AKta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. – UTUSAN










