Bersatu mahu jawatan MB Selangor

Bersatu mahu jawatan MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memastikan calon mereka menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor jika mahu jawatan Menteri Besar diangkat daripada kalangan mereka.

Bersatu juga perlu mendapat persepakatan dengan Pas yang sebelum ini pernah mendakwa menjadi ‘batu loncatan’ kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Selangor iaitu ketika bersama-sama dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

Ketua Bersatu Bahagian Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, Selangor dan Negeri Sembilan wajar ditadbir Bersatu apabila Pas dilapor akan mengekalkan sasaran untuk terus menguasai Kedah, Terengganu dan Kelantan sementara Pulau Pinang pula dijangka diberi kepada Gerakan.

“Rundingan dengan komponen Perikatan Nasional (PN) lain masih diteruskan. Tetapi itu hanya melibatkan pengagihan kerusi antara parti. Calon-calonnya belum lagi. Kita berharap Selangor akan jadi negeri Bersatu.

“Cadangan sedemikian dikehendaki oleh kesemua 22 bahagian dalam mesyuarat Sabtu lalu dan dijangka dimuktamadkan pada 25 Januari ini. Namun kita menghormati pendirian Pas yang mahu bertanding di kerusi-kerusi disandang Amanah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Berdasarkan kedudukan terkini dalam DUN Selangor, PH menguasai 41 daripada 56 kerusi DUN iaitu PKR (19), DAP (16) dan Amanah (enam) berserta sokongan tiga kerusi daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, PN merampas lima kerusi Parlimen iaitu Sabak Bernam dengan 17,973 undi, Hulu Selangor (46,823), Tanjong Karang (18,054), Kapar (65,751) dan Kuala Langat (52,867).

Gabungan itu turut mempertahan Sungai Besar melalui calonnya Datuk Muslimin Yahaya yang memenangi kerusi tersebut melalui tiket PKR pada PRU14 dengan 17,350 undi dan PN pada PRU15 dengan peningkatan kepada 19,791 undi.

Bagaimanapun, Wan Dzahanurin menegaskan, PN khususnya bersatu tidak boleh meletakkan keputusan PRU15 semata-mata sebagai asas untuk menyusun strategi pada PRN yang dijangka sekitar Mei atau Jun ini.

“Kemenangan di Sabak Bernam, Tanjong Karang, Hulu Selangor dan Kuala Langat adalah tidak dijangka kerana bukan dalam senarai lima Parlimen tumpuan. Jadi, pada PRN nanti tidak boleh bersandarkan kepada keputusan pilihan raya lalu semata-mata,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN