Ahli UMNO resah tindakan pecat tokoh

Ahli UMNO resah tindakan pecat tokoh

OTHMAN DESA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan drastik UMNO melakukan ‘pembersihan’ termasuk memecat tokoh-tokoh besar da­lam parti itu menyebabkan sebahagian ahlinya kini berada dalam keadaan resah.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa juga bimbang tindakan itu bakal menyebabkan rakyat terutama anak muda hilang kepercayaan kepada parti tersebut.

Katanya, proses yang dijalankan itu menyebabkan gundah gulana dalam kala­ngan ahli UMNO, pelbagai pe­rasaan yang tidak menentu ada pada saat ini sebab yang dipecat ini adalah peringkat tokoh-tokoh dalam UMNO.

Menurutnya, UMNO perlu berhati-hati dalam setiap tindakan kerana parti itu kini turut dilihat sebagai parti yang bermoral rendah.

“Kita memang tahu dalam kalangan ahli ada yang me­langgar peraturan tetapi kalau dilakukan pembersihan macam ini, ia terlalu drastik. Dulu dalam UMNO, tidak berlaku semua ini. Anak-anak muda sedang melihat UMNO ketika ini dan sudah tentu berpendapat ahli UMNO tidak bebas bersuara.

“Parti kita ini kononnya mempunyai moral rendah. Di mata rakyat, kita begitu dan kepercayaan mereka juga sudah menurun. Sepatutnya kita sedar selepas PRU15 lalu tapi ia tidak berlaku seperti itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Othman, sekiranya episod seperti itu berterusan, kepercayaan rakyat akan lebih merudum dan UMNO akan dilihat dikongkong oleh satu pihak.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini membuat keputusan untuk memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Se­langor, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Selain itu, beberapa pe­mimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuklah ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Sementara itu, setiausaha bagi kelab sama, Datuk Mustapha Yaacob berkata, Lembaga Disiplin telah bertindak mengikut kuasa yang diperturunkan kepada oleh Majlis Tertinggi (MT) perpandukan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO.

“Seseorang ahli yang terbukti bersalah melanggar peruntukan Perlembagaan dan Tataetika Ahli UMNO boleh diambil tindakan sama ada diberi amaran, digantung atau dipecat.

“Pemecatan dan penggantungan ahli UMNO bukan tidak pernah berlaku sebelum ini. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dipecat di zaman Tunku Abdul Rahman manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipecat pada zaman Dr. Mahathir.

“Tindakan ini perlu dilakukan apabila Lembaga Disiplin dan MT berpendapat seseorang ahli itu boleh membahayakan parti ekoran tindak-tanduk mereka. Walaupun keputusan itu sukar dan tidak popular tetapi ia perlu untuk kelangsungan parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN