Habuk berterbangan resahkan peniaga, penduduk - Utusan Malaysia

Habuk berterbangan resahkan peniaga, penduduk

PENIAGA, Asrul Ahmad, 50, (kanan) ketika menyuarakan masalah kumpulan peniaga yang terkesan akibat pergerakan kenderaan berat projek naik taraf paip air kepada Wan Saiful Wan Jan (dua dari kanan) di Kampung Lubuk Meriam, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Masalah debu dan habuk berterbangan ekoran pergerakan kenderaan berat projek naik taraf paip air mengundang kegusaran penduduk Kampung Lubuk Meriam di sini.

Lebih memeritkan, sebanyak 11 buah gerai yang beroperasi kira-kira 150 meter dari kawasan projek itu turut terkesan sekali gus menjejaskan pendapatan para pengusaha yang sudah berniaga di situ sejak sekian lama.

Salah seorang peniaga makanan, Asrul Ahmad, 50, mendakwa, masalah itu mulai membelenggu mereka bermula awal Jun lalu.

“Tanah yang dibawa keluar dari tapak projek mengakibatkan jalan berdebu dan habuk turut berterbangan sehingga ke gerai saya.

“Meja, kerusi semuanya dipenuhi habuk dan saya perlu mengelapnya setiap setengah jam.

“Pelanggan juga semakin berkurangan kerana meragui tahap kebersihan makanan yang dijual selain kurang selesa kerana terkesan dengan suasana sekitar yang berhabuk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Salah seorang penduduk, Mohd. Yusof Mustaffa, 70, pula berkata, dia juga perlu membersihkan kediamannya dua hari sekali.

Katanya, baju yang dijemur di ampaian juga perlu diangkat segera kerana akan bertukar warna merah disebabkan habuk tanah.

“Sudah beberapa kali kami menghubungi pihak berkaitan, namun tiada tindakan yang diambil sehingga kini.

“Lori yang keluar daripada tapak projek tidak dibersihkan menyebabkan tanah bertaburan di atas jalan dan keadaan lebih teruk ketika cuaca panas dan kering.

“Kami buntu memikirkan jalan penyelesaian kerana situasi ini sudah lama membelenggu iaitu sejak hampir setengah tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meninjau kawasan terbabit berkata, tindakan susulan akan diambil bagi menangani permasalahan itu.

“Sepatutnya ada papan tanda jelas di kawasan tapak projek supaya kita dapat maklum siapa kontraktor dan projek apa yang sedang berlangsung di sini.

“Walau bagaimanapun, saya akan akan merujuk dengan pihak berkuasa untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya