DUN Tioman milik siapa terjawab hari ini

DUN Tioman milik siapa terjawab hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMPOH kempen selama 27 hari yang cukup panjang berakhir hari ini dan kesemua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyerahkan kepada budi bi­cara pengundi di kawasan ber­kenaan.

Sebelum ini, tempoh berkempen hanya 14 hari bermula 5 November hingga 19 November lalu, namun pilihan raya umum (PRU) DUN Tioman terpaksa ditangguhkan berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md. Yunus Ramli, 61, pukul 3.30 pagi Sabtu iaitu hari pengundian, dipercayai akibat serangan jantung.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 24 November lalu dan hari pengundian pada hari ini.

Ia sekali gus menjadikan tempoh kempen cukup panjang iaitu 27 hari yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap calon bertanding menerusi pelbagai medium termasuk media sosial, kempen rumah ke rumah dan program menyantuni rakyat.

Sepanjang tempoh berkempen, pelbagai isu dikupas oleh setiap calon terutama isu tempatan dalam meraih undi daripada 28,462 pengundi berdaftar di DUN Tioman.

Pelbagai janji ditabur ketika berkempen bagi menarik perhatian ramai, namun pengundi diminta menggunakan akal fikiran yang sihat bagi memilih calon yang boleh membela rakyat di kawasan itu.

Jangan hanya terpesona de­ngan janji manis yang belum pasti ditunaikan. Usah dengar rayuan mesra yang menggoda jiwa daripada mereka yang menjanjikan bulan dan bintang.

DUN Tioman menyaksikan bermulanya satu peristiwa besar kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membina Malaysia Baharu di bawah gagasan dua parti tersebut bagi membawa keharmonian kepada rakyat seterus­nya menjadikan Malaysia lebih gemilang.

Dalam konteks tempatan, PRU15 DUN Tioman sudah tentu memberikan pengajaran bermakna buat semua parti agar tidak leka dan tidak menganggap mudah semua kerusi sama ada yang dianggap kubu kuat mereka selama ini.

Soal calon, turun padang, isu setempat dan pembangunan yang dibawa hendaklah diberi perhatian dan seiring, jangan masa berkempen baru nampak muka tetapi bila sudang menang kembali ke ‘sarang’ untuk berehat dan meraikan kemenangan.

Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN yang juga penyandang, Datuk Seri Johari Hussain; calon Bebas, Sulaiman Bakar; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A. Bakar; calon PH, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dan calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim.

Apa pun, peluang berkempen cukup panjang selama 27 hari dan sama ada ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua calon akan terjawab pada hari pe­ngundian yang akan berakhir pukul 6 petang hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN