GAJI permulaan RM2,000 sebulan mungkin membuka peluang kepada graduan baharu memasuki alam pekerjaan, namun jumlah itu belum tentu mencukupi untuk menampung kos sara hidup, apatah lagi membina simpanan bagi menjamin masa depan.
Dalam keadaan kos perumahan, pengangkutan, makanan dan keperluan harian terus menjadi pertimbangan utama, graduan yang memulakan kerjaya di bandar besar berdepan cabaran untuk mengimbangi pendapatan dengan komitmen bulanan.
Keadaan itu turut menimbulkan persoalan sama ada gaji permulaan yang ditawarkan benar-benar setimpal dengan kelayakan, kemahiran dan tanggungjawab pekerjaan, khususnya bagi mereka yang perlu menanggung perbelanjaan sendiri tanpa sokongan kewangan keluarga.
Seorang pekerja, Muhammad Razin Zainuddin berkata, isu gaji permulaan perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kos perbelanjaan harian, pengurusan kewangan serta tanggungjawab pekerjaan.
“Pada pendapat saya, gaji RM2,000 mungkin boleh diterima bagi sesetengah pekerjaan peringkat permulaan, tetapi agak mencabar bagi graduan yang perlu menanggung kos sara hidup sendiri, terutamanya di bandar besar.
“Gaji yang munasabah perlu mengambil kira kelayakan, kemahiran, tanggungjawab kerja serta lokasi pekerjaan.
“Pada masa sama, pengurusan kewangan juga penting kerana jumlah simpanan bukan bergantung pada gaji semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi komitmen dan gaya hidup seseorang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Muhammad Razin berkata, tanggungjawab mengurus kewangan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pekerja sekiranya pendapatan yang diterima tidak sepadan dengan kos sara hidup.
Menurutnya, graduan yang memiliki kemahiran khusus dan memikul tanggungjawab besar wajar menerima gaji setimpal dengan skop serta nilai pekerjaan mereka.
“Jika ditawarkan pekerjaan di bandar besar dengan gaji RM2,000, saya masih boleh mempertimbangkannya sebagai langkah awal membina pengalaman dan kerjaya, tetapi perlu ada peluang perkembangan kerjaya serta peningkatan pendapatan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pekerja, Muhammad Akmal Zuhdi berkata, gaji permulaan RM2,000 boleh mengehadkan keupayaan graduan baharu untuk membuat simpanan selepas menampung perbelanjaan asas bulanan.
“Graduan yang menerima gaji berkenaan dianggarkan hanya mampu menyimpan antara RM200 hingga RM400 sebulan selepas menolak kos sewa rumah, pengangkutan, makanan dan bil bulanan.
“Bagaimanapun, jumlah simpanan sebenar bergantung pada lokasi tempat tinggal serta komitmen kewangan individu,” katanya.
Menurut Muhammad Akmal, kadar gaji permulaan juga perlu mengambil kira kemahiran dan tanggungjawab pekerjaan, khususnya dalam bidang media dan kewartawanan yang memerlukan kemahiran komunikasi, kreativiti serta keupayaan menghasilkan kandungan dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, skop kerja yang melibatkan waktu kerja tidak menentu juga perlu dipertimbangkan majikan dalam menentukan kadar gaji yang bersesuaian.
Tambahnya, walaupun pengalaman penting bagi graduan baharu, peluang pekerjaan tetap perlu dinilai berdasarkan kemampuan pendapatan untuk menampung kos sara hidup.
“Saya lebih cenderung memilih pekerjaan yang menawarkan pendapatan sepadan dengan kos sara hidup. Kawasan yang mempunyai kos sara hidup lebih rendah juga boleh dipertimbangkan sekiranya menawarkan peluang kerjaya yang baik.
“Langkah itu membolehkan graduan membuat simpanan dan membina kestabilan kewangan untuk masa hadapan,” katanya.-UTUSAN











