HULU SELANGOR: Seorang mangsa bersyukur kerana terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Genting-Batang Kali awal pagi semalam yang berlaku dalam sekelip mata.
Menurut seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Chong, 28, sebelum itu dia terdengar bunyi dentuman kuat yang turut merosakkan khemahnya selain menyaksikan sendiri detik kejadian.
Meskipun sempat menyelamatkan diri, dia sebaliknya terdengar jeritan seseorang meminta tolong sebelum ternampak separuh badan yang hanya nampak tangan dan kaki tertimbus dalam runtuhan tanah.
“Tanpa berlengah saya dan seorang lagi rakan lelaki terus menggali tanah dengan tangan sahaja antara 10 hingga 15 minit sebelum mangsa dan anak perempuannya dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Hulu Yam Bharu di sini semalam.
Menurut Chong, dia bersama 18 ahli keluarga lain dan rakan berkhemah tidak terjejas teruk manakala semua ahli kumpulannya selamat.
Menurutnya, dia tidak mengenali mangsa terbabit, namun bersyukur dua beranak itu dapat diselamatkan.
Chong dari Melaka berkata, runtuhan tanah itu berlaku di tapak perkhemahan bahagian zon A yang hampir keseluruhan kawasan itu musnah.
Menurutnya, dia bersama 18 ahli keluarga lain dan rakan berkhemah di zon B yang tidak terjejas teruk dan semua kumpulannya selamat.
Mengimbas detik kejadian, Chong berkata, kejadian berlaku pada 2 pagi dan ketika itu mereka sedang tidur di khemah masing-masing.
“Ketika tanah runtuh saya terdengar seperti bunyi kilat dan runtuhan tanah dirasai berada di kepalanya. Kami kemudiannya terus keluar untuk selamatkan diri, malam tadi (kelmarin) hujan renyai-renyai.
“Saya bersyukur kumpulan kami semua selamat cuma khemah saya sahaja koyak dalam kejadian itu. Kami datang ke tapak perkhemahan itu sejak kelmarin dan sepatutnya pulang semalam,” katanya.
Dilaporkan, kejadian tersebut berlaku di tepi jalan berhampiran Father’s Organic Farm dan telah menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut.
Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar kira-kira 1.2 hektar.
Seorang lagi mangsa, Teh Lynn Xuan, 22, berkata, ketika kejadian dia hampir terlelap dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti batu berguling serta air menitis di luar khemahnya.
Katanya, dia juga berkhemah di bahagian zon B dan datang ke tapak itu untuk bercuti bersama 20 lagi anggota keluarganya dari Melaka.
“Kejadian itu menyebabkan khemah tertolak hingga kaki kami naik ke atas ketika tidur dan ia berlaku sangat cepat,” katanya sambil memberitahu kumpulannya juga semua selamat. – Berlaku sekelip mata – Mangsahttp://utusan.com.my










