‘Saya tetap hormat Shahidan'

‘Saya tetap hormat Shahidan’

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman masih menghormati Datuk Seri Shahidan Kassim yang merupakan penyandang kerusi tersebut sejak empat penggal lalu.

Rozabil berkata, beliau mempunyai hubungan cukup lama dengan Shahidan dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha politiknya selain memegang beberapa jawatan politik lain seperti Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan Naib Ketua UMNO Bahagian.

Katanya, pertukaran calon BN bagi kerusi Parlimen Arau bukan di bawah bidang kuasanya, namun beliau mengambil tanggungjawab itu untuk bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

“Kita faham perasaan masing-masing ketika ini dan saya pun tak nak menekan sesiapa kerana percaya ahli masih setia dengan parti untuk membantu BN dalam PRU-15,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BN menggugurkan nama Shahidan untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau dan mengumumkan Rozabil sebagai pengganti calon di kawasan berkenaan.

Selain Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga tidak mempertahan kedudukannya dan digantikan dengan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

shahidan
SHAHIDAN KASSIM

Dalam pada itu, Rozabil berkata, beliau akan turun ke setiap cawangan UMNO Bahagian Arau bagi memperkukuh jentera bagi menghadapi PRU-15.

“Saya percaya kepada kekuatan di cawangan dan gerak kerja ketua pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di bahagian untuk membantu parti dalam pilihan raya kali ini.

“Saya tak mahu berkonfrontasi dan hanya fokus melakukan kerja dengan turun jumpa seramai mungkin pengundi di Arau,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Shahidan bertanding semula di Parlimen Arau namun atas tiket parti berlainan, Rozabil berkata, beliau secara peribadi yakin penyandang kerusi itu masih sayangkan UMNO dan BN.

Beliau juga percaya Shahidan akan membantu BN dalam menghadapi PRU-15.

“Kita faham perasaan Shahidan yang merupakan orang lama di Arau namun saya masih percaya beliau akan bantu UMNO di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN