Polis diminta siasat fitnah Anwar ejen Israel

Polis diminta siasat fitnah Anwar ejen Israel

SYAZREEN Ezam Saidi ketika ditemui media selepas membuat laporan polis di IPD Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak polis digesa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan fitnah mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cawangan Putrajaya AMK Putrajaya, Syazreen Ezam Saidi berkata, tohmahan dan fitnah terhadap Anwar terus berpanjangan sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri termasuk ada pihak memainkan sentimen perkauman dan agama.

“Umum mengetahui bahawa proses lantikan Perdana Menteri minggu lalu berjalan dengan lancar dan beliau (Anwar) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu keseluruhannya.

“Saya lihat ini (tuduhan ejen Israel) bukan perkara yang boleh dipandang enteng kerana ia melibatkan kedaulatan dan keselamatan negara serta melibatkan dua negara,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, Syazreen Ezam dan beberapa orang wakil AMK Putrajaya hadir ke IPD Putrajaya bagi membuat laporan berhubung perkara tersebut.

Syazreen Ezam berkata, langkah itu supaya tidak ada lagi mana-mana pihak membuat tuduhan tidak berasas jika polis mengambil tindakan dengan membuka kertas siasatan.

“AMK Putrajaya juga menyediakan beberapa bahan bukti untuk mengaitkan individu tertentu yang dikesan melalui platform Facebook dan rakaman audio yang tular melalui aplikasi WhatsApp mendakwa Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan sebegini perlu dihentikan segera dan diambil tindakan agar tidak mengganggu gugat kelancaran perkhidmatan beliau (Anwar) sebagai Perdana Menteri Malaysia,” ujar beliau.

Semalam, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dilapor memaklumkan bahawa Anwar mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaitkan beliau sebagai ejen Israel.

Fahmi juga mengesahkan bahawa Pakatan Harapan (PH) turut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkan pengerusi gabungan tersebut sebagai ejen Israel.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara tersebut dan tindakan lanjut sedang dilakukan pihak mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya