Calon meninggal dunia, pengundian Parlimen Padang Serai

Calon meninggal dunia, pengundian Parlimen Padang Serai perlu ditangguh

Parlimen Padang Serai mungkin ditangguhkan ekoran kematian calon PH, M. Karupaiya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menangguhkan perjalanan pilihan raya bagi Parlimen Padang Serai Sabtu ini susulan kematian calon daripada Pakatan Harapan (PH) M. Karupaiya, semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, pilihan raya bagi kerusi Parlimen itu perlu dilaksana pada tempoh berlainan yang akan ditentukan SPR selepas mendapat makluman rasmi pegawai pengurus pilihan raya.

Beliau merujuk kepada Peraturan 11 (6) Peraturan-Peraturan Pilihan (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang menyatakan, pegawai pengurus hendaklah memaklumkan kepada SPR dan perlu mengambil tindakan serta-merta jika salah seorang calon yang sah bertanding me­ninggal dunia.

Bagaimanapun, katanya, pe­laksanaan pilihan raya yang baharu bagi Parlimen Padang Serai tidak terikat dengan tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

“SPR kena ambil tindakan membatalkan tarikh pengundian bagi Parlimen Padang Serai pada Sabtu ini, dan umumkan tarikh penamaan calon yang baharu bagi parti politik calon yang telah meninggal dunia.

“Calon-calon lain yang sah dinamakan dalam kertas undi tidak perlu lagi berbuat demikian dan akan kekal sebagai calon pilihan raya dan masih boleh bertanding. Hanya penamaan calon untuk calon yang baharu sahaja akan berubah.

CALON

“Situasi ini pernah berlaku pada 14 April 1982 yang mana seorang calon dalam bahagian Parlimen Melaka Selatan ketika itu meninggal dunia kerana ditembak pada tarikh itu, iaitu lapan hari sebelum hari me­ngundi,” katanya ketika dihubu­ngi semalam.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang sama, SPR boleh memanggil suatu pilihan raya kecil (PRK) pada tarikh berbeza seandainya seseorang calon te­lah meninggal dunia.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan suatu kewajipan untuk melaksanakan PRK.
“Semua akan diputuskan mengikut budi bicara SPR sama ada mahu meneruskan pilihan raya ini atau mengadakan PRK. Jika diteruskan, calon-calon akan bertanding apa adanya dan PH telah hilang satu daripada 221 kerusi yang dipertanding dalam pilihan raya,” katanya.

Karupaiya dilaporkan me­ning­gal dunia di Hospital Kulim di sini semalam, dipercayai akibat mengalami serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Mendiang berhadapan pertembungan enam penjuru membabitkan Hamzah Abd. Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Ananda Ak (BEBAS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN