PETALING JAYA: Isu kekurangan ayam dan telur yang masih berlaku di beberapa negeri ketika ini didakwa berpunca daripada sifat tamak pemain-pemain gergasi industri itu yang ‘menunggu’ subsidi tinggi disalurkan kerajaan bagi memperoleh keuntungan berganda hasil suntikan subsidi, serta jualan ayam dan telur di pasaran tempatan dan asing.
Malah, trend percaturan pemain industri bagi ayam dan telur bagi mendesak kerajaan menyalurkan subsidi terbukti berdasarkan rekod pengeluaran ayam dan telur beberapa bulan kebelakangan yang berlaku ‘pasang surut’.
Menurut sumber industri yang terlibat dalam sektor penternakan ayam, meskipun dalam kalangan kartel-kartel ayam dan telur belum kedengaran suara yang mendesak subsidi tambahan, namun modus operandi mereka mengurangkan bekalan terbukti berdasarkan rekod pengeluaran ayam daging pada Julai dan Ogos lalu.
“Dalam soal menuntut subsidi tambahan pada skala besar, setakat ini belum ada lagi permintaan daripada penternak. Tapi, pihak kami ada memanjangkan hasrat kepada kerajaan supaya menaikkan subsidi dalam tempoh tiga bulan.
“Sebab, kami perasan, bila kerajaan beri subsidi dalam tempoh tiga bulan, semua penternak akan berebut-rebut mahu memasukkan anak ayam daging, sebab mereka (penternak) mahukan subsidi ini,” kata sumber.
Sumber yang mewakili penternak wilayah tengah itu berkata, ketika kerajaan pada Julai lalu menyuntik subsidi dalam jumlah besar, jelas kelihatan peningkatan pengeluaran ayam daging.
“Langkah menyuntik subsidi sebagai ‘umpan’ bagi penternak mengeluarkan bekalan, terbukti dengan situasi sebelum ini. Masa Julai dan Ogos, kita dapati kerajaan bagi RM1.20 subsidi bagi setiap sekilogram ayam. Sebab kami berada dalam industri, maka kami pantau selepas sebulan dan mendapati pengeluaran ayam daging memang di puncak.
“Kemudian, subsidi diturunkan kepada 80 sen, dan kita perasan dalam kalangan pemain-pemain industri ayam, pengeluaran berkurangan semula. Subsidi 80 sen ini sampai sekarang menyebabkan ayam ada tempat semakin mahal,” kata sumber.
Sementara itu, satu sumber lain yang dihubungi berkata, dalam soal telur, tambahan subsidi dibuat oleh kerajaan sebanyak 7 sen pada Oktober, berbanding 3 sen kadar sebelum itu.
Pun begitu kata sumber, tambahan subsidi yang diberikan masih tidak berjaya mendorong pengeluaran telur pada skala optimum.
“Dalam isu telur pula, kerajaan menaikkan subsidi daripada 3 sen, kepada 8 sen campur 2 sen. Maksudnya, daripada 3 sen subsidi dinaikkan kepada 10 sen. Subsidi 3 sen ini sehingga September. Manakala Oktober ke atas, 10 sen.
“Cuma, penternak belum dibayar lagi 10 sen itu. Sebab tak silap saya, semasa kerajaan buat keputusan mahu beri 10 sen, tiba-tiba bubar Parlimen. Jadi, bajet tak turun lagi dari Kementerian Kewangan,” kata sumber.
Kelmarin, Utusan Malaysia dan Kosmo! melaporkan bekalan telur di beberapa negeri kembali stabil selepas kerajaan perpaduan dibentuk. – UTUSAN











