Malaysia perlu kerajaan stabil, pemimpin berwibawa - Johari

Malaysia perlu kerajaan stabil, pemimpin berwibawa – Johari

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bukan sahaja memerlukan sebuah kerajaan stabil tetapi mempunyai barisan kepemimpinan berwibawa dengan mengambil pendekatan jangka panjang berbanding bertindak mengikut sentimen semata-mata.

Calon Barisan Nasional (BN) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, negara perlu kestabilan politik untuk menarik pelaburan kembali ke Malaysia iaitu sebuah negara yang memiliki kemudahan infrastruktur terbaik.

“Melangkah ke hadapan, apa yang kita perlukan ialah kestabilan politik untuk menarik pelaburan kembali ke Malaysia. Mereka (pelabur) masih suka Malaysia kerana infrastruktur kita bagus.

“Bagaimanapun sejak empat tahun lalu, kita telah kehilangan peluang kerana banyak syarikat beralih dari China dan ingin mencari tempat alternatif. Setiap hari kita bercakap tentang politik, kita melihat tiga Perdana Menteri dalam empat tahun,” katanya dalam wawancara bersama The Edge baru-baru ini.

Menurut Pengerusi BN Wilayah Persekutuan itu lagi, beliau percaya bahawa dalam membuat keputusan, setiap pemimpin harus mengambil pandangan jangka panjang daripada hanya mengikut sentimen dan mengelak langkah tidak popular.

“Saya rasa kita baru 65 tahun merdeka. Jom pilih pemimpin yang berwibawa. Walaupun kita mahu menjadi sebuah parti yang boleh menyatukan dan menyediakan kestabilan politik, dalam parti itu sendiri kita memerlukan pemimpin yang berwibawa.

“Kita juga memerlukan parti dan pemimpin pembangkang yang berwibawa. Jadi, ia mesti datang dari kedua-dua pihak,” katanya.

Justeru itu, Johari menyifatkan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh pentadbiran BN pada 2015 adalah langkah tepat untuk mengurangkan ekonomi bayangan negara di samping meluaskan asas hasil kerajaan.

“Ia adalah sistem yang adil kerana lebih banyak anda berbelanja lebih banyak anda membayar, dan kami (beri) pengecualian kepada makanan asas. Melalui sistem ini, anda mampu mengurangkan ekonomi bayangan. Isu utama ialah orang ramai merungut bukan tentang kadar, tetapi tentang bayaran balik cukai input iaitu terlalu perlahan,” jelasnya.

Namun beliau percaya jika diberi lebih masa, isu berkaitan pelaksanaan GST sudah tentu selesai kerana banyak negara telah pun menyempurnakan sistem percukaian berkenaan.

Beliau berkata, hasil kerajaan tidak berubah sejak beberapa tahun lalu dan apabila peningkatan hasil antara 2019 dan 2022 adalah disebabkan oleh dividen khas daripada Petronas yang tidak mampan dalam jangka panjang.

Mengenai tahap hutang negara semakin meningkat, beliau menegaskan bahawa paras hutang RM1 trilion bukanlah isu utama, tetapi keupayaan kerajaan membayar hutangnya dan bagaimana boleh meningkatkan pendapatannya pada masa hadapan.

Justeru, Johari melihat pelarasan struktur kepada asas ekonomi negara sebagai penting bukan sahaja untuk memastikan pertumbuhan mampan tetapi juga untuk menangani isu pengangguran.

“Terdapat banyak strategi lain yang boleh kita lakukan. Saya tidak boleh mengatakannya kerana kita perlu masuk ke dalam dan mendiagnosisnya. Lihat apa yang boleh kita hapuskan dan apa yang tidak boleh kita lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Johari juga melihat menyokong dasar untuk mengembangkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk 98 peratus daripada ekonomi.

“Jika anda melihat kepada struktur ekonomi kita, kira-kira dua peratus daripada 1.2 juta syarikat atau perusahaan adalah apa yang kita panggil syarikat besar, 20 peratus adalah PKS dan baki 78 peratus adalah PKS mikro. Jadi, peluang pekerjaan adalah dalam kumpulan 22 peratus ini dan itulah sebabnya kita sangat bergantung kepada pelaburan langsung asing.

“Kita perlu mengkaji 20 peratus PKS ini dan melihat bagaimana kerajaan boleh memberikan bantuan untuk mengembangkannya dan itulah yang dilakukan oleh Jerman. Mereka membina PKS mereka, di situlah anda melihat PKS mereka berkembang menjadi syarikat besar dan masih dimiliki oleh pengasas,” tambahnya.

Mengulas projek infrastruktur mega, Johari mencadangkan agar kerajaan bersikap selektif bagi memastikan tidak membawa kepada pengaliran keluar besar ringgit untuk mengimport peralatan dan bakat asing dan mesti memberi kesan pengganda besar kepada ekonomi tempatan.

Sehubungan itu, Johari percaya sebarang bajet tahunan kerajaan yang akan datang perlu diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu pelan pembangunan lima tahun dari 2021-2025 bagi menyelaraskan semula agenda pertumbuhan ekonomi negara.

“Bajet tahunan perlu disediakan untuk melaksanakan RMK. Apabila ia datang untuk menyelesaikan masalah, ia tidak boleh dilakukan daripada bajet setahun. Ia mestilah daripada kertas paling strategik (RMK) yang boleh membawa perkara ke hadapan. Anda tidak boleh membentangkan belanjawan dan memberitahu orang ramai bahawa ini adalah cara kami akan menyelesaikan masalah. Ia mengambil masa.

“Melalui RMK, kita boleh sumbang saran tentang apa yang salah dan menganalisis apa yang boleh kita lakukan dan tawarkan untuk dipadankan dengan bakat yang ada di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya