PRU15: Pertembungan Pas, UMNO tidak dapat dielakkan

PRU-15: Pertembungan Pas, UMNO tidak dapat dielakkan

pru15
AHMAD AMZAD HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pertembungan Pas dan UMNO tidak dapat dielakkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun masih ramai akar umbi memasang impian kedua-dua parti Melayu Islam terbesar itu meneruskan Muafakat Nasional (MN).

Penyandang Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, Pas tidak mempunyai pilihan selain berjuang habis-habisan untuk menang dalam pilihan raya kali ini dengan menentang Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

“Saya dapat rasakan kekecewaan dalam kalangan ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan. Kita jangka sepatutnya tak payah berlawan sesama sendiri (Pas dan UMNO).

“Sepatutnya kita bersama dengan UMNO di bawah penyatuan ummah (MN). Kita telah konsisten dari dulu mengajak (UMNO) supaya dapat bersama, tetapi malangnya, seperti yang diketahui ia gagal di peringkat atasan.

“Bagaimanapun, PRU15 ini tetap perlu dihadapi (walaupun bertembung dengan UMNO). Kawan-kawan saya ramai dalam kalangan UMNO. Jadi jangan pelik dalam pilihan raya ini pengundi saya ramai dalam kalangan orang UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya sama ada permohonan maafnya kepada pengundi dalam satu ucapan di Kuala Ibai baru-baru ini adalah bayangan beliau tidak lagi bertanding di Parlimen Kuala Terengganu, jelasnya, perkara itu adalah adat biasa sebagai tanda hubungan baik dengan penduduk di Parlimen tersebut.

“Itu biasa sahaja, adatlah kerana sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dahulu, tidak dapat memenuhi semua permintaan rakyat.

“Ada yang tak dapat permohonannya, belum masanya lagi. Jadi saya ambil kesempatan dalam ucapan itu minta maaf sekiranya ada yang belum sempat saya tunaikan.

“Kalau saya ditakdirkan mempertahan Parlimen Kuala Terengganu nanti bolehlah saya sambung balik mana-mana yang belum berkesempatan,” katanya.

Pada PRU14, Ahmad Amzad menang selesa di Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 42,988 undi dengan majoriti 14,773 mengalahkan Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (BN) dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.