PETALING JAYA: Peluang untuk semua parti di Perak, Perlis dan Pahang masih terbuka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila lebih 30 kerusi meliputi ketiga-tiga negeri ini mencatatkan majoriti undi yang tipis pada PRU14 lalu.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menyaksikan 12 daripada 59 kerusi mencatatkan majoriti bawah 1,000 undi.
Ini diikuti Perlis dengan 11 daripada 15 kerusi di bawah majoriti 1,000 manakala Pahang mencatatkan sembilan kerusi majoriti tipis daripada 42 kerusi yang dipertandingkan.
Dengan wujudnya beberapa gabungan politik baharu seperti Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) kali ini, dijangka lebih banyak kerusi mencatatkan majoriti undi yang tipis ekoran perpecahan undi antara calon.
Ia juga belum mengambil kira impak Undi 18 terhadap pilihan raya kali ini, sama ada mereka cenderung mengundi BN seperti generasi-generasi terdahulu, sekali gus memberi peluang hampir sama rata kepada semua parti yang bertanding dalam PRU15.
Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis Dr. Azmi Hassan percaya BN tidak berdepan masalah untuk kekal menguasai di ketiga-tiga negeri tersebut meskipun majoriti tipis kerana faktor kekuatan blok pembangkang ketika ini.
“Bukan sahaja kerusi majoriti bawah 1,000 dapat dikekalkan, malah BN akan ambil beberapa lagi kerusi terutama sekali di Pahang dan Perak.
“Kedudukan Pakatan Harapan (PH) ketika ini agak lemah berbanding BN, sebab itu mereka tak mahu bubarkan DUN masing- masing. Mereka tahu kalau bubar sekarang, kerusi milik PH dan Pas akan tergugat di ketiga-tiga negeri mereka. Jadi, Perak, Perlis dan Pahang akan kekal jadi kerajaan BN,” katanya.
PERAK
Perak akan bertukar kerajaan buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas Mei 2018, Mac 2020, Disember 2020 dan terbaharu November 2022.
Ia juga menjadi satu-satunya negeri yang paling sukar diramal kerana terdapat 12 kerusi yang mencatatkan majoriti di bawah 1,000 undi, dengan BN hanya menyasarkan 36 kerusi DUN dalam PRU15.
Ini kerana, sokongan terhadap BN dan PH hampir sama rata di beberapa kawasan berdasarkan kepada jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu.
Negeri Perak adalah kubu kuat UMNO dan BN sejak 1955. Namun kedudukan mereka kini rapuh sejak tewas dalam PRU12 pada 2008.
BN kembali menguasai Perak ketika krisis perlembagaan pada 2009 dan dalam PRU13 pada 2013 namun dengan majoriti yang tipis.
Penguasaan BN tidak bertahan lama apabila gabungan politik itu tewas dalam PRU14 pada 2018 kepada PH.
Namun, kerajaan PH juga tidak kekal lama apabila pertukaran kerajaan persekutuan akibat Langkah Sheraton pada 2020 menyebabkan negeri itu kemudian dipimpin oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di bawah kerajaan PN dengan sokongan majoriti ADUN BN.
Ahmad Faizal terpaksa meletak jawatan Menteri Besar ekoran majoriti undi tidak percaya dan digantikan oleh Datuk Seri Saarani Mohamad pada Disember 2020.

PERLIS
BN berdepan cabaran terbesar di Perlis dalam PRU15 apabila 11 daripada 15 kerusi yang dimenangi sebelum ini hanya meraih majoriti yang tipis di bawah 1,000 undi.
Ini sekali gus menunjukkan sokongan terhadap BN di Perlis semakin lemah. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man juga hanya meraih majoriti 847 undi di DUN Bintong dalam PRU14.
Namun, berdasarkan beberapa keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan pengundi Perlis yang majoritinya Melayu, BN akan kembali kuasai DUN dengan majoriti yang lebih selesa dan membentuk kerajaan yang lebih stabil.
Malah, BN menyasarkan kemenangan ‘sapu bersih’ di semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen dalam pilihan raya kali ini.
PAHANG
BN menyasarkan 35 kerusi DUN dalam PRU15, tambahan 10 kerusi berbanding 25 kerusi yang dimenanginya dalam PRU14.
Ini meskipun terdapat sembilan kerusi sebelum ini mencatatkan majoriti tipis bawah 1,000 undi.
Sasaran itu diletakkan kerana majoriti pengundi Melayu masih memihak kepada parti-parti Melayu seperti UMNO dan Pas, manakala majoriti kerusi yang disandang oleh PH sebelum ini dimenangi oleh DAP (7) berbanding PKR (2) yang turut meletakkan calon berbangsa Cina. – UTUSAN










