SELAIN Parlimen Johor Bahru, Pulai, Tebrau dan Iskandar Puteri, satu lagi kerusi di kawasan bandar Johor Bahru yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ialah Pasir Gudang.
Kerusi Parlimen Pasir Gudang antara yang menjadi tumpuan kerana ditandingi Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ramai ‘terkedu’ apabila Mohamed Khaled yang turut mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas tewas di kedua-dua kawasan ditandinginya.
Lebih ‘melukakan’ UMNO/Barisan Nasional (BN), beliau tewas dengan majoriti besar, iaitu 24,726 undi di Parlimen Pasir Gudang kepada Hassan Abdul Karim dan 8,746 undi kepada Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh yang mewakili Bersatu di DUN Permas.
Namun, sejak kebelakangan ini, sokongan terhadap UMNO/BN di Pasir Gudang dilihat semakin meningkat dan ada yang berpandangan peluang untuk BN merampas semula kerusi tersebut lebih cerah pada PRU15.
Bersandarkan sokongan pengundi di dua kawasan DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, kerusi Permas berjaya dirampas semula. Walaupun tewas di DUN Johor Jaya yang sebelum ini menjadi kubu kuat DAP, BN melonjakkan sokongan dan hanya tewas dengan majoriti kecil, iaitu 1,922 undi berbanding 15,565 undi pada PRU14.
Jika UMNO/BN ingin merampas semula kerusi Pasir Gudang, faktor calon amat penting. Apakah Mohamed Khaled dipertaruh sekali lagi dengan Hassan yang hampir pasti terus diberi kepercayaan oleh PH mempertahan kerusi tersebut atau BN menampilkan calon baharu?
Difahamkan, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO hampir pasti bertanding di kawasan Parlimen lain dan yang ‘panas’ diperkata adalah di Kota Tinggi. Jika bukan beliau, nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros disebut-sebut menggantikan tempatnya.
Noor Azleen yang juga Exco Pemuda UMNO pemimpin muda semakin meningkat naik. Selain itu, nama Ketua Wanita UMNO Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad yang pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Gudang selama sepenggal turut disebut-sebut diberi peluang sekali lagi.
Mutakhir, kedengaran cakap-cakap politik nama Datuk Abdul Halim Suleiman turut disebut-sebut. Siapa beliau?
Walaupun bukan ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, Abdul Halim, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa selama dua penggal itu dikatakan bersedia memberi tentangan sengit kepada Hassan.
Malah, ada yang mengatakan beliau mampu melaksanakan misi besar merampas semula kerusi tersebut.

Sebenarnya, Abdul Halim bukan figura baharu di kawasan tersebut kerana merupakan anak jati Kampung Kopok dan UMNO Bahagian Pasir Gudang sebenarnya adalah ‘adik’ kepada UMNO Bahagian Tebrau kerana berada di bawahnya sebelum ia ditubuhkan pada 2003.
Jika Abdul Halim diberi kepercayaan, tindakan itu juga boleh dianggap sebagai ‘membalas budi’ oleh Mohamed Khaled yang menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada MIC apabila bekas Menteri Besar Johor itu bertanding di DUN Permas pada PRU 2014 yang sebelum itu diwakili MIC.
Malah, sikap Abdul Halim yang disenangi rakyat pelbagai kaum semasa menjadi ADUN Puteri Wangsa tetap menjadi buah mulut rakyat di kawasan tersebut.
Legasi kepemimpinan Allahyarham ayahnya, Suleiman Omar yang menjadi penghulu di kawasan Pasir Gudang sejak tahun 70-an hingga awal 90-an tetap diingati masyarakat, khususnya pengundi senior.
Siapa pun calon BN di kerusi Parlimen Pasir Gudang pada PRU15, pasti menjadi tumpuan ramai. – UTUSAN










