PETALING JAYA: Jaminan penguatkuasaan akta larangan ahli Parlimen bertukar parti sebelum pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dapat menstabilkan politik Malaysia dan penubuhan kerajaan lebih kukuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, penguatkuasaan undang-undang itu dapat menghalang pemimpin politik lompat parti dan mengkhianati pengundi untuk kepentingan diri.
Menurut beliau, langkah itu juga perkembangan sihat untuk sistem demokrasi negara bagi membolehkan penubuhan kerajaan yang stabil selepas pasca PRU15 yang bersifat kepartian dan bukannya penyertaan individu mesra kerajaan.
“Saya kira ini satu keputusan yang baik untuk semua pihak termasuk parti politik. Jika betul dapat dikuatkuasakan sebelum PRU15, ia akan menjamin kestabilan politik semasa dan kukuhkan penubuhan kerajaan selepas PRU15 nanti.
“Apa yang penting undang-undang ini perlu digazetkan agar pemimpin politik, tidak lagi boleh lompat parti. Saya percaya, pengundi-pengundi pada PRU15 mahu pemimpin yang dipilih kekal dengan parti mana yang dia wakili ketika bertanding.
“Untuk parti politik pula, UMNO dan PKR pastinya akan gembira dengan keputusan tersebut kerana sebelum ini ramai pemimpin mereka yang bertindak melompat parti selepas tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas jaminan kerajaan terhadap pelaksanaan larangan ahli Parlimen bertukar parti akan ditetapkan sebelum PRU15 walaupun masih tiada tarikh penguatkuasaan yang ditetapkan buat masa ini.
Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jaminan diberikan kerana undang-undang itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti dipaparkan di laman sesawang rasmi Istana Negara.
Pada 28 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga selepas undi belah bahagi menyaksikan 209 bersetuju manakala 11 lagi tidak hadir.
Dewan Negara kemudiannya meluluskan RUU berkenaan pada 8 Ogos lalu selepas dibahas lebih tiga jam oleh 32 Ahli Dewan Negara yang mewakili pihak kerajaan dan pembangkang.
Seramai 39 ahli Parlimen di negara ini telah melompat parti sejak 2018 sehingga kini.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kelulusan RUU itu jelas menunjukkan parti politik ketika ini tidak akan menerima mana-mana pemimpin yang ingin melompat selepas PRU15. – UTUSAN










