19 kerusi menang majoriti tipis

19 kerusi menang majoriti tipis

Terdapat 19 kerusi Parlimen yang dimenangi dengan majoriti tipis iaitu kurang 1,000 dalam Pilihanraya Umum Ke-14 lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH Pas memutuskan ‘mufaraqah’ (berpisah) dengan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebaliknya memeteraikan ‘ijab dan kabul’ bersama Perikatan Nasional (PN), perbincangan kini banyak tertumpu kepada 27 kerusi kritikal iaitu jika BN-UMNO dan Pas bergabung, maka boleh menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya ramai pemerhati politik tidak menyentuh 19 kerusi memperoleh majoriti kurang 1,000 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan 11 kawasan dimenangi Barisan Nasional (BN), enam Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu menggunakan lambang PKR dan Parti Warisan Sabah serta Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) masing-masing satu kerusi.

Sebabnya ada dalam kalangan kerusi berkenaan meraih 45 undi membabitkan Parlimen Keningau, ada juga 81 undi di Tasek Gelugor dan paling tinggi iaitu Parlimen Saratok oleh Datuk Ali Biju (PKR) dengan 989 undi.

Paling menarik perhatian apabila antara kawasan itu dimenangi nama besar seperti Ayer Hitam oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, Pontian (Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan), Tapah (Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan), Kuala Pilah (Ahli Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Eddin Syazlee Shith), Lumut (Setiausaha Agung Parti Amanah, Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli) dan Selangau (Bekas Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian).

Walaupun hampir tewas di tangan lawan, antara 19 wakil rakyat berkenaan masih kekal sehingga Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Oktober lalu tetapi ada juga terdapat dalam kala­ngan wakil rakyat masih sempat melompat ke parti lain sejurus PRU14.

Menjelang hari penamaan PRU15 pada 5 November, mungkin setiap parti mempunyai percaturan untuk menyusun calon-calon khususnya kerusi-kerusi kritikal agar terus kekal atau menambah majoriti bagi mengelakkan kecundang di tangan lawan.

KENINGAU

Dalam kalangan 19 kerusi majoriti tipis, Parlimen Keningau satu-satunya kerusi yang mendapat majoriti bawah 50 undi apabila penyandang sebelum ini, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan hanya meraih kelebihan 45 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan Warisan, BN, Parti Cinta Sabah dan dua calon bebas.

Presiden Star Sabah itu memperoleh 13,286 undi berbanding Jake Nointin daripada Warisan dengan 13,241 undi manakala calon BN, Datuk Daniel Kinsik berada di kedudukan ketiga.

Selaku rakan sekutu PN di samping Star Sabah salah satu komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sudah pasti Jeffrey bakal menerima kelebihan pada PRU15 sekiranya janji BN dan gabungan itu untuk mengelakkan pertembungan pada hari penamaan 5 November ini.

Maka jika satu lawan satu, Star Sabah boleh menang selesa di Keningau sekali gus menyumbang salah satu kerusi kepada GRS untuk membentuk Kerajaan Pusat.

TASEK GELUGOR

Selain Keningau, calon BN di kerusi Tasek Gelugor hanya memperoleh 81 undi berbanding dua lawan masing-masing daripada PKR dan Pas apabila Datuk Shabudin Yahaya berkelebihan 18,547 undi manakala bekas Timbalan Menteri, Datuk Marzuki Yahya yang kini menyertai Parti Pejuang Tanah Air mendapat 18,466 undi.

Bagaimanapun atas kelebihan 81 undi itulah dengan faktor kemenangan tiket BN, Shabudin tidak lama kemudian menyertai Bersatu.

Bagaimanapun, bekas Penge­rusi PN Pulau Pinang itu sebelum ini mengumumkan tidak bertanding mempertahan kerusi Parlimen tersebut pada PRU15 sekali gus membayangkan nama baharu bagi mengantikan beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini dilaporkan yakin kerusi Parlimen Tasek Gelugor ‘dikembalikan’ semula kepada UMNO pada PRU15.

BAGAN SERAI

Seperti Tasek Gelugor, kawasan ini dimenangi BN namun penyandangnya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali melompat ke Bersatu selepas kekalahan UMNO pada PRU14.

Berbekalkan kelebihan 172 undi, Timbalan Menteri Kesihatan itu tidak boleh mendabik dada sekiranya beliau sekali lagi diketengahkan oleh Bersatu untuk mempertahankan kawasan itu sedangkan Bagan Serai merupakan kubu kuat UMNO.

Sebaliknya, Dr. Noor Azmi boleh bernasib baik jika menumpang undi diperoleh Pas iaitu 17,048 undi pada PRU lalu.

Namun terlalu awal untuk membuat segala kesimpulan sekiranya BN dan PH mahupun Gerakan Tanah Air masing-masing mengetengahkan nama besar di kawasan itu.

Sehingga kini BN, PH dan GTA masih belum mengumumkan calon-calon Bagan Serai, begitu juga dengan PN. Hanya Dr. Noor Azmi sebelum ini dilaporkan dikatakan mahu mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sejak 2013 atas tiket BN.

KIMANIS

Bagaimana pula Kimanis? Meskipun kawasan ini pernah menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2020 setelah Mahkamah Pilihan Raya menolak kemenangan wakil BN, Datuk Seri Anifah Aman, sebaliknya nasib boleh menyebelahi calon lain pada PRU15.

Anifah hampir tewas di tangan lawannya, Datuk Karim Bujang (Warisan) dengan kelebihan 11,942 undi sebelum kemenangan bekas Menteri Luar itu dibatalkan tidak lama kemudian.

Pada PRK sebelum ini, Anifah tidak dipertaruhkan untuk kerusi itu sebaliknya, BN meletakkan peguam muda, Datuk Mohamad Alamin sebagai calon sekali gus menang dengan selesa dengan 12,706 undi manakala Karim pula tewas sekali lagi.

KUALA PILAH

Nama Kuala Pilah popular sejak kebelakangan ini apabila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dikatakan bakal dile­takkan di kerusi itu selepas UMNO Rembau mahu mengetengahkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jika nama bekas Ahli Parlimen Rembau itu disahkan, ia boleh memberi isyarat awal untuk BN merampas kerusi daripada Bersatu yang sebelum ini hanya menang dengan kelebihan 200 undi.

Eddin yang menang 18,045 undi dan berjaya menumbangkan bekas menteri UMNO, Datuk Hasan Malek dalam pertembungan tiga penjuru dan juga disertai Pas yang raih 4,347 undi sahaja.

JASIN

Meskipun dikatakan kubu kuat UMNO, pada PRU14 parti itu hanya dapat 219 undi apabila Datuk Seri Ahmad Hamzah hampir kecundang berbekalkan 26,560 undi kepada nama besar, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (PKR) dengan 26,341 undi.

Ahmad dikatakan tidak mempertahankan kerusi itu apabila nama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan antara yang disebut-sebut dicalonkan BN di kerusi Parlimen Jasin.

Misi mempertahankan Jasin tidak hanya kepada nama Shahril Sufian apabila Ketua UMNO Bahagian Jasin, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd

Rahman dan timbalannya, Datuk Roslan Ahmad, bekas ADUN Merlimau, juga disebut-sebut berpotensi sebagai calon di Parlimen itu.

ADUN Merlimau, yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Penerangan UMNO Jasin, Datuk Sharul Azuwar Abd Aziz, turut disebut-sebut layak dicalonkan.

NASIB KERUSI LAIN

Begitu juga dengan baki 13 kawasan yang menang bawah 1,000 undi seperti Ayer Hitam (303), Papar (325), Lumut (400), Selangau (486), Tanjung Piai (524), Jerai (539), Cameron Highlands (597), Tapah (614), Sungai Besar (714), Kuala Kangsar (731), Pontian (833), Sipitang (852) dan Saratok (989).

Kawasan berkenaan merupakan separa bandar dan luar bandar, sekali gus sukar untuk menghitung sentimen pengundi bagi merumuskan parti manakah yang ada kelebihan sama ada untuk kekal atau menambah jumlah undi.

Walaupun ada mengatakan wakil rakyat hanya bernasib baik dengan peratusan undi kecil, tetapi pada hakikatnya satu undi juga pun dinilai berdasarkan prinsip demokrasi sekali gus tidak kira satu atau dua undi tetap dikira untuk meraih kemenangan dan akhirnya menyumbang kepada parti untuk membentuk kerajaan.

Tidak tolak kemungkinan situasi sama boleh berulang kembali setelah wujud gabungan dan parti politik baharu pasca PRU14 seolah-olah mengambarkan akan berlaku lebih empat penjuru dan jumlah ini tidak termasuk lagi calon-calon bebas.

Selagi atas nama demokrasi, selagi itu setiap rakyat berhak untuk bertanding asalnya mereka mematuhi syarat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di samping mempunyai faktor kekuatan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN