SHAH ALAM: Pertuduhan cacat kerana tiada butiran penting dan siapa individu sebenarnya menyerahkan wang tunai kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah asas kegagalan pendakwaan membuktikan kes prima facie ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Selain itu, pihak pembelaan juga amat bergantung kepada kandungan bukti lejar yang tidak boleh dipercayai.
Perkara tersebut terkandung dalam kertas penghakiman setebal 100 muka surat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa yang berpendapat perkara itu menyebabkan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid cacat dan ditambah pula keterangan tiga saksi utama yang tidak boleh dipercayai dan berwibawa.
“Dengan disokong oleh keterangan daripada pendakwaan, saya mendapati saksi pendakwaan ke-17 adalah pembuat lejar syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) iaitu bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun.
“Pihak pembelaan sangat bergantung kepada kandungan lejar untuk menguji kredibiliti dan kebolehpercayaan tiga saksi utama pendakwaan iaitu pengarah UKSB (ketika itu) Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani serta Siong Sun.
“Mengenai penekanan yang akan diberikan kepada bukti lejar dan selaras dengan penemuan saya sebelum ini, bahawa keterangan tiga saksi utama pendakwaan tidak boleh dipercayai serta berwibawa, saya dapati tiada kewajaran untuk memberi penekanan kepada bukti berkenaan,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Keputusan itu dibuat setelah kegagalan pendakwaan membuktikan elemen penting pertuduhan rasuah dan keterangan tiga saksi utama tidak dipercayai menjadi asas keputusan pembebasan Ahmad Zahid di samping keterangan mereka yang gagal membuktikan hubungan kait wang dengan elemen kes rasuah dihadapi beliau.
Justeru kata Hakim Mohd. Yazid, keraguan yang timbul sama ada wang suapan yang dikatakan dibayar kepada Ahmad Zahid benar-benar wujud dan identiti individu yang menyerahkannya kepada Presiden UMNO itu kekal tidak selesai dan terjawab.
Katanya, mahkamah berpandangan Seksyen 153 Kanun Acara Jenayah perlulah dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan di mana pendakwaan hendaklah mengemukakan butiran identiti individu yang menyerahkan wang terbabit kepada Ahmad Zahid selaku tertuduh kes berkenaan.
Hakim Mohd. Yazid menjelaskan, tanpa bukti sokongan kukuh, beliau tidak boleh membuat penemuan bahawa wang berkenaan sebenarnya diterima oleh Ahmad Zahid seperti dicadangkan pendakwaan berdasarkan transaksi direkodkan dalam lejar (tanpa bukti rekod) melalui tanda nota ‘Z’ dan ‘ZH’.
Beliau berkata Vui Khun (saksi ke-15) dan Wan Quoris (saksi ke-16) dalam keterangan mereka ketika disoal balas bersetuju bahawa tiada bukti bebas yang menyokong keterangan mereka bahawa wang itu sebenarnya dibayar kepada Ahmad Zahid.
Katanya, amat mengejutkan bahawa Siong Sun (saksi ke-17) selaku individu membuat lejar UKSB mengakui ketika disoal balas bahawa penyerahan kedua wang suapan berjumlah RM3 juta yang dimasukkan dalam sebuah bagasi adalah keterangannya yang difikirkan kemudian.
“Pengakuan saksi utama pendakwaan itu adalah lebih daripada mencukupi bagi mahkamah untuk memutuskan bahawa beliau adalah seorang saksi yang langsung tidak berwibawa. Untuk lebih menyokong dapatan ini, saksi dalam keterangannya berkata akan merekodkan pembayaran pada hari sama atau sehari kemudian, bagaimanapun ditunjukkan bahawa hampir semua komentar pada kolum dalam lejar itu dibiarkan kosong.
“Vui Khiun pula bersetuju bahawa komentar pada kolum di lejar tidak menggambarkan bahawa wang berkenaan dibayar kepada tertuduh,” katanya.
Hakim Mohd. Yazid berkata, mahkamah mendapati pendakwaan juga gagal mengemukakan bukti Kamera Litar Tertutup (CCTV), gagal memanggil pemandu kepada tiga saksi utama, pengawal di kediaman Ahmad Zahid di Sri Satria (kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri) dan rumah tertuduh, Country Heights serta gagal mengemukakan bukti slip transaksi Touch and Go, log panggilan telefon dan mesej dengan tertuduh.
Sebelum ini, Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada syarikat UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid turut didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc; dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.
Ahmad Zahid dituduh melakukan perbuatan itu di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong dan B Thavani manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Datuk Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh. – UTUSAN










