Malaysia perlu ramai muka baharu terajui negara

Malaysia perlu ramai muka baharu terajui negara

MALAYSIA memerlukan pemimpin yang dinamik dan bertenaga dalam mendepani isu terutama melibatkan masalah sosial serta pertumbuhan ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dilihat lebih baik jika kerajaannya diterajui oleh ramai calon baharu yang lebih berwawasan dan dinamik.

Tanpa menidakkan segala sumbangan dan jasa bekas pemimpin lama, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, negara perlu melihat ke hadapan untuk mempunyai pemimpin yang mengutamakan kepentingan negara berbanding parti dan diri sendiri.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin lama harus memberi ruang kepada pemimpin yang lebih baik lagi.

“Masalah (setengah) pemimpin lama adalah mereka fikir mereka saja yang layak jadi pemimpin Malaysia dan orang lain tak ada keupayaan memimpin, sedangkan hakikatnya orang ramai sudah tidak peduli.

“(Ada juga pemimpin lama) dakwa ramai mahukan beliau kembali, tetapi kalau ada tinjauan sudah tentu populariti beliau merudum disebabkan oleh tindak-tanduk mereka selama ini.

“Saya fikir rakyat sudah beri peluang dan ada yang sudah bertahun-bertahun memimpin, jadi sudah lebih mencukupi untuk seseorang pemimpin melaksanakan agenda beliau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

JENIRI AMIR

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, pemimpin lama bagaimanapun boleh bertindak sebagai penasihat sekiranya gerakan pimpinan beliau menang dan mengetuai kerajaan selepas ini.

Malah, katanya, mereka juga boleh bertindak sebagai pengkritik jika berada di blok pembangkang sebagai semak dan imbang buat kerajaan.

“Zaman sudah berubah yang mana bukan saja mencari kelemahan dan mengkritik pemimpin dinaikkan, tetapi bertindak sebagai penasihat,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, keadaan negara ketika ini memerlukan pemimpin yang dinamik dan bertenaga dalam mendepani isu terutama melibatkan masalah sosial dan pertumbuhan ekonomi.

“Tidak dinafikan ada pemimpin lama dapat memahami isu antarabangsa dan tempatan bersekali, itu kelebihan yang ada padanya berbanding Perdana Menteri yang banyak bergantung kepada penasihat sahaja.

“Tetapi pemimpin lama ini ibarat negarawan, jadi tak perlu menjadi Perdana Menteri. Namun, buah fikiran dan tindakan mereka sangat penting, maka lebih baik mereka menjadi mentor.

“Apabila menjadi mentor, mungkin orang boleh menerima pandangan mereka, tetapi laksanakan dengan caranya sendiri,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×