Hanya jasad yang ‘pulang’ - Utusan Malaysia

Hanya jasad yang ‘pulang’

GAMBAR kenangan arwah Mohd. Kamal Ramli bersama isterinya, Siti Nafishah Mohd. Nasir dan dua anak mereka sebelum menyertai operasi ketenteraan di Hutan Belum Gerik, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Mengikut peranca­ngan, Sarjan Mohd. Kamal Ramli, 41, yang mengikuti operasi ketenteraan di Hutan Belum, Gerik di Perak akan pulang ke pangkuan keluarga awal September ini selepas selesai tugasan.

Bagaimanapun, hampir dua minggu berjauhan dengan isteri dan dua anak kerana memasuki Hutan Belum 29 Jun lalu, hanya sekujur jasad yang ‘pulang’ ke pangkuan keluarga.
Mohd. Kamal antara dua anggota tentera yang maut dalam kejadian pokok tumbang ketika menyertai tugasan tersebut.

Isteri Mohd. Kamal, Koperal Siti Nafishah Mohd. Nasir, 29, berkata, arwah yang berkhidmat di Kem Sungai Ara, Pulau Pinang berpesan kepada anak sulung, Muhammad Nabil Khalaf,5, agar menjaga keluarga.

“Dia hanya berkata kepada saya ‘tunggu abang pulang 1 September nanti’ dan terus memanggil Muhammad Nabil untuk berpesan supaya menjaga saya, adik dan datuknya dengan baik.

“Walaupun kehilangan suami yang baik dan bapa yang penyayang saya bangga kerana arwah meninggal dunia ketika bertugas,” katanya ketika ditemui di Taman Ria Jaya di sini semalam.

Kejadian

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, Mohd. Kamal bersama rakan setugas­nya, Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, dari Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) meninggal dunia selepas dihempap pokok di Hutan Belum.

Hasil perkongsian hidup arwah dengan Siti Nafishah yang bertugas di Unit 6 Angkut, Kem Lapangan Terbang, di sini turut mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Muhammad Nur Fariman, 2.

Cerita Siti Nafishah, Muhammad Nabil mengetahui terlebih dahulu pemergian bapanya selepas mendengar perbualan antara datuk dan bapa saudaranya, Koperal Mohd. Nizam, 27, yang ketika itu bertugas bersama ­mangsa.

“Ibu, ayah sudah meninggal sambil berlari ke arah saya dengan menangis teresak-esak,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Mohd. Kamal, Shamsiah Awan Ludin, 75, berkata, dia dimaklumkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tentang kejadian menimpa anak keempat daripada tujuh beradik itu pada pukul 11 pagi semalam sebelum bertolak dari rumahnya di Felda Lubuk Lui Timur, Negeri Sembilan.

“Sedih kehilangan seorang anak yang baik dan kali terakhir saya bertemu dengan arwah semasa dia singgah di rumah kami ketika dalam perjalanan berkursus di Johor Bahru pada Mac lalu,” katanya.

Jenazah Mohd. Kamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin di Taman Kelisa Ria pukul 2.30 pagi semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN