Aset Petronas dirampas, waris Sultan Sulu tuntut RM8.9 bilion

Aset Petronas dirampas, waris Sultan Sulu tuntut RM8.9 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Waris Kesulta­nan Sulu yang sebelum ini me­nuntut AS$14.92 (RM62.59 bi­lion) dari Malaysia dilaporkan me­­rampas dua anak syarikat mi­lik Petronas yang diperba­dan­kan di Luxemborg.

Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam pe­nuntut merampas Petronas Azer­baijan (Shah Deniz) dan Pet­ronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Menurut pasukan peguam, ke­dua-dua anak syarikat itu di­rampas oleh bailif di Luxemborg yang mewakili waris Sulu ber­kenaan.

Keturunan Sultan Sulu ter­akhir, Sultan Jamalul Kiram II menuntut jumlah tinggi sebagai pampasan dari Malaysia susulan daripada proses timbang tara.

Proses itu dimulakan sebagai tindak balas terhadap Malaysia yang memotong pembayaran pa­jakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada Kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak terlibat dalam proses tersebut yang berlangsung di Perancis dengan alasan, pertikaian antara negara itu dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial.

Oleh hal yang demikian, Malaysia tidak tertakluk dalam proses timbang tara berkenaan.

Namun, peguam waris Sulu berhujah, Malaysia merupakan penandatangan Konvensyen Mengenai Pengiktirafan dan penguatkuasaan Anugerah Timbang Tara Asing (Konvensyen New York).

Sehubungan itu, anak guam mereka mempunyai hak untuk merampas aset Malaysia di 167 negara penandatangan jika jumlah yang dituntut tidak dibayar.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, kerajaan sedang meneliti perkara itu bersama Kementerian Luar dan Petronas.

“Kita akan membuat kenyataan mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” jelasnya.

Mengulas isu yang sama, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun ketika dihubungi Utusan Malaysia petang semalam memaklumkan, pihaknya sedang menyemak perkembangan kes berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sedang memperinci kes tersebut selepas mengetahui tuntutan berkenaan.

“Jabatan Peguam Negara baru sahaja dimaklumkan mengenai perkara ini dan sedang menyemak mengenainya dengan pihak-pihak berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN