PETALING JAYA: Pengurusan persatuan-persatuan sukan di negara ini didakwa lebih banyak merapu sekaligus menjadi penghalang utama melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.
Perenang maraton negara, Datuk Abdul Malik Mydin berkata, selain itu, kecelaruan politik dalaman persatuan sukan turut mengganggu polisi dan dasar yang ditetapkan pucuk pimpinan terdahulu walaupun ia terbukti berjaya sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, menerusi kewujudan Majlis Sukan Negara (MSN), ia dapat membantu persatuan melahirkan bakat baharu dalam sukan
“Pengurusan persatuan sukan di negara kita banyak merapu. Kalau saya kritik banyak yang marah. Politik dalaman persatuan ada yang kawal sampai jadi buruk. Di Malaysia kalau tiada MSN tidak nampak atlet yang boleh dilahirkan.
“Negara lain mereka tidak campurkan politik persatuan dalam sukan. Polisi dan dasar terus berjalan walaupun ada pertukaran pucuk pimpinan.Jika ada pun hanya penambahbaikan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beberapa kemelut membabitkan persatuan sukan dilaporkan sebelum ini melibatkan pelbagai isu seperti penyalahgunaan dana, undi tidak percaya, tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pergaduhan dalaman serta dadah.
Kemelut yang berlaku memaksa campur tangan banyak pihak terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta MSN bagi mencari jalan penyelesaian.
Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan menjadikan latihan asas renang sebagai salah satu subjek wajib di semua sekolah di negara ini.
Menurutnya, kemahiran tersebut penting sebagai persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutama ketika menjalankan aktiviti di kawasan perairan atau ketika musim banjir.
“Di sekolah perlu ada kelas renang yang dijadikan sebagai sebahagian daripada kokurikulum. Sebab apa? Contoh apabila berlaku banjir. Kanak-kanak atau pelajar sekurang-kurangnya tahu perkara asas untuk selamatkan diri.
“Sekurang-kurangya tahu apa nak buat.Sudah banyak kali saya cakap sebelum ini. Kalau nak diceritakan berkenaan kemudahan, kita bukannya macam dulu. Sekarang boleh bina kolam kecil 25 meter. Lagipun kemudahan ada,” jelasnya.
Ditanya sama ada beliau ada mencadangkan perkara itu kepada kerajaan, Abdul Malik berkata dia tidak mahu dilihat mempunyai kepentingan di situ.
“Tapi saya boleh bantu. Apa yang penting will power,” katanya. – UTUSAN










