Lebih 14 juta perantau balik kampung sambut Aidilfiri

Lebuh raya sesak, lebih 14 juta perantau balik kampung sambut Aidilfitri

Aliran trafik di Plaza Tol Gombak menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal bulan ini. – FOTO/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 14 juta perantau pulang beraya di kampung halaman bermula Jumaat lalu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian berikutan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, kesesakan dilaporkan berlaku di beberapa lebuh raya utama terutamanya di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur menye­babkan ada pengguna terpe­rang­kap sehingga 12 jam untuk sampai ke rumah masing-ma­sing.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Sia­satan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kassim Karim memberitahu, setakat Jumaat, trafik di kesemua lebuh raya di seluruh negara kira-kira lima juta ken­deraan.

Pihaknya menjangkakan sebanyak 4.7 hingga 4.9 juta kenderaan lagi dalam perjalanan ke destinasi masing-ma­sing menjelang hari ini.

“Bagaimanapun, trafik di se­lu­ruh negara masih terkawal dan tiada kesesakan luar biasa cu­ma ia seperti keadaan sebelum pandemik Covid-19.

“Hanya di Plaza Tol Gombak menghala Genting Sem­­pah menghala ke negeri-ne­geri Pantai Timur sesak sedikit daripada biasa,” katanya ketika dihubu­ngi di sini semalam.

Kesesakan lebuh raya itu juga rentetan kerajaan mengumumkan pemberian tambang tol percuma pada dua hari sebelum dan dua hari selepas sambutan Aidilfitri kali ini.

Tol percuma dan diskaun itu melibatkan 30 lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah potongan dinikmati oleh pengguna sebanyak RM77.11 juta.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga melaporkan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama sesak sejak pukul 12 tengah malam kelmarin.

Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur dilaporkan paling sesak terutamanya melibatkan laluan dari Plaza Tol Gombak menghala ke Genting Sempah.

Laluan di Lebuh Raya Utara-Selatan turut dilaporkan mengalami kesesakan terutamanya arah utara yang membabitkan laluan dari Sungkai sehingga Sungai Perak.

Ketua Pusat Pengurusan Trafik (TMC) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Syed Mohd. Faizal Said Ahmad berkata, orang ramai mengambil peluang untuk menikmati pemberian kadar tol percuma yang diumumkan sebelum ini.

“Berdasarkan kepada data trafik semalam yang kita sudah kemas kini, jumlah trafik telah pulang ke kampung halaman keluar dari ibu kota telah mencecah dua juta dan kita tidak menolak ia boleh cecah sehingga empat juta (untuk dua hari) pagi esok (hari ini).

“Dalam masa sama, laluan menuju Pantai Timur masih lagi kekal sesak daripada awal pagi semalam. Kita jangkakan ia sampai esok (hari ini) sebab ada lagi tol percuma,” katanya ketika dihubungi semalam.

PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menjangkakan lebih dua juta kenderaan melakukan perjalanan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan untuk pulang ke Perlis, Kedah Pulau Pinang dan Johor pada musim perayaan kali ini.

ANIH Bhd. pula menganggarkan sejumlah 207,500 kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak manakala 100,000 kenderaan dijangka melalui Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena perayaan kali ini untuk pulang beraya di Pantai Timur.

Lebih 60,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) untuk pulang berhari raya dalam tempoh cuti seminggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd., Lyondon Alfred Felix gembira kerana laluan tersebut kini sudah mula menjadi laluan alternatif kepada pengguna kenderaan untuk ke destinasi masing-masing.

“Maklumlah sudah dua tahun tidak boleh balik kampung, jadi kami sudah bersedia untuk menyambut kehadiran kenderaan yang agak banyak di WCE,” katanya selepas majlis pelancaran Operasi Selamat 18 Aidilfitri 2022 Daerah Manjung di Plaza Tol Sitiawan Utara WCE, dekat sini semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pengguna lebuh raya perlu membuat perancangan awal terlebih dahulu berikutan jangkaan peningkatan aliran trafik pada sambutan perayaan tahun ini.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat persediaan secukupnya bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menjejaskan kelancaran dan kesesakan aliran trafik di lebuh raya.

“Semua pengguna lebuh raya supaya membuat persediaan awal untuk rancangan balik kampung, memeriksa kenderaan bagi memastikan keadaan berada dalam keadaan baik dan sentiasa memandu secara berhemah ketika berada di lebuh raya.

“Insya Allah, semoga semua yang memulakan perjalanan dengan lebuh raya berada dalam keadaan sihat dan selamat serta dapat sampai ke destinasi bersama orang tersayang di kampung halaman,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, selain lebih 14 juta orang ramai yang dianggarkan menggunakan kenderaan masing-masing, kira-kira 312,526 individu pula memilih untuk menggunakan perkhidmatan bas ekspress dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi pulang beraya di kampung masing-masing.

Sebanyak 200,000 tiket bas untuk perjalanan sehala bagi trip ketika waktu puncak iaitu 29 April hingga 2 Mei hampir habis dijual, manakala sejumlah 154,526 tiket daripada 244,502 yang ditawarkan KTMB sudah habis dijual, setakat Khamis lalu

Bagi memenuhi permintaan memberangsangkan itu, Pengurus Kanan Operasi Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Faizal Redza Redzuan berkata, sebanyak 20 trip bas tambahan sehari disediakan sehingga 8 Mei ini agar tiada masalah kesesakan berlaku dan penumpang dapat menikmati perjalanan berkualiti.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha pula berkata, sebanyak 130,361 tiket terjual mebabitkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) , ETS tambahan (3,751 tiket), KTM Intercity (19,268 tiket) dan Ekspres Khas Keluarga Malaysia dengan 1,146 tiket terjual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN