GEORGETOWN: Teman wanita kepada doktor pelatih lelaki di Hospital Pulau Pinang yang maut terjatuh dari aras 23, tingkap bilik kediaman sewanya di sebuah apartment di Jalan Dato Keramat pada 17 April lalu juga akan diambil keterangan oleh polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada wanita tersebut bagi membantu siasatan kes kematian teman lelakinya itu.
Menurut beliau, keterangannya akan diambil di Seremban, Negeri Sembilan berikutan wanita tersebut kini masih menuntut di negeri berkenaan.
“Keluarga si mati iaitu abang dan ayahnya akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) pada lewat petang hari ini.
“Keterangan mereka akan direkodkan bagi membantu pihak polis melengkapkan siasatan berhubung punca kematian doktor pelatih yang juga penuntut dari sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk melibatkan elemen jenayah mahupun masalah peribadi yang dialami si mati.
Pada 7 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan siasatan awal polis mendapati si mati pernah mengadu dia terbeban dengan tugas kerja yang dipikulnya.
Maklumat tersebut diperoleh hasil keterangan daripada rakan serumah
si mati baru-baru ini.
Terdahulu, kejadian tersebut hanya ‘dihidu’ media hya selepas lebih seminggu doktor pelatih tersebut berlaku pada 17 April lalu.
Susulan itu, pada 4 Mei lalu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Ma’ Arof Sudin menerusi satu kenyataan telah mengesahkan kematian Pegawai Perubatan Siswazah yang baru melaporkan diri di HPP pada 4 April lalu. – UTUSAN










