Pemandu wanita kes basikal lajak dipenjara enam tahun, denda RM6,000 - Utusan Malaysia

Pemandu wanita kes basikal lajak dipenjara enam tahun, denda RM6,000

SAM Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemandu wanita yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak lima tahun lalu dijatuhi hukuman penjara enam tahun bermula hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah turut menjatuhi hukuman denda sebanyak RM6,000 kepada Sam Ke Ting, 27, yang mana jika gagal bayar akan ditambah hukuman penjara enam bulan.

Selain itu, tertuduh juga hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar memberitahu, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara bersumpah bersifat penafian semata-mata bahawa responden tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar kumpulan itu dan telah melarikan diri.

“Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara berbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

“Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” hujahnya sebelum menjatuhi hukuman.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd. Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mempertimbangkan prinsip kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Faizal Mokhtar merayu agar mahkamah menjatuhi hukuman lebih ringan memandangkan ini kesalahan pertama selain tertuduh turut menanggung kedua ibu bapa.

Muhammad Faizal turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) ke atas responden yang mana hukuman bermula dari tarikh sabitan, bagaimanapun Hakim tidak membenarkan penangguhan selagi tidak menerima kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan.

Peguam tertuduh bagaimanapun akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan kepada pihak Mahkamah Rayuan.

Tertuduh yang hadir ke pekarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian kemeja putih berbelang dan berseluar panjang berwarna coklat itu kelihatan tenang selepas hukuman dijatuhkan.

Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru mengekalkan keputusan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan yang berlaku pada 18 Februari 2017.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi.

Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya