kanak-kanak maut

Korban angkara mercun

ANGGOTA bomba memeriksa dua buah rumah yang terbakar dan mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki di Jalan Permatang Ba­dak Perdana 2, Kuantan, Pahang, awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Letupan dan kebakaran dipercayai akibat mer­­cun yang memusnahkan dua buah rumah di Jalan Permatang Ba­dak Perdana 2 di sini awal pagi semalam turut meragut nyawa kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan seorang lelaki melecur 50 peratus, seorang lelaki cedera ringan, dua perempuan cedera dan seorang bayi perempuan lapan bulan cedera akibat terkena serpihan kaca tingkap rumah.

Malah letupan mercun itu didengari sehingga 10 kilo­meter dari lokasi kejadian.

Kejadian itu turut menye­babkan sebuah rumah musnah 100 peratus manakala sebuah lagi rumah musnah 90 peratus selain turut melibatkan tiga buah kenderaan terbakar iaitu satu kenderaan hangus terbakar manakala dua buah ken­deraan mengalami kerosakan.

Difahamkan, beberapa rumah berhampiran lokasi turut menerima kesan sampingan, pecah cermin tingkap dan si­ling rumah runtuh ekoran letupan yang disifatkan meng­gegarkan kawasan itu.

Mangsa kejadian, Mohd. Hel­mi Mohd. Fauzi, 31, berkata, letupan pertama kira-kira pukul 3 pagi begitu mengejutkan dia dan isterinya, Iffah Aqilah Hasnol, 30, sehingga menyebabkan semua cermin empat tingkap di rumah sewanya itu termasuk dua di da­lam bilik pecah.

“Letupan cukup kuat dan cermin tingkap yang pecah terkena dahi anak bongsu kami, Nur Irdina Humaira yang berusia lapan bulan. Selepas itu, saya segera membawa dua anak dan isteri keluar rumah bagi menyelamatkan diri.

“Waktu itu, jiran dikenali sebagai Saufi sudah cedera dan terbaring di luar rumah. Saya segera mengangkatnya dan bawa jauh dari lokasi. Saya kembali ke rumah dan berlaku satu lagi letupan yang lebih kuat dari letupan pertama, letupan kedua turut disusuli bunyi mercun dan percikan bunga api seakan suasana perang.

“Akibatnya, saya sendiri tercampak kira-kira dua meter dan terjatuh atas sebuah kereta jenis Perodua Alza. Cemas dengan situasi berlalu, saya terus bangun dan lari menyelamatkan diri kerana kesan letupan kedua cukup kuat sehingga meruntuhkan dan memecahkan dinding konkrit rumah,” katanya yang baru menyewa di situ selama lima bulan.

Mohd. Helmi berkata, dia bersyukur hanya mengalami kecederaan di bahagian lutut dan paha serta Nur Irdina Humaira menerima jahitan di dahi akibat terkena cermin tingkap yang pecah.

“Saya dan isteri masih lagi terkejut sehingga kini. Kejadian ini sungguh tidak diduga kerana kesan letupan yang berlaku terlalu dahsyat dan boleh dikatakan menggemparkan,” katanya.

Seorang penduduk, Muhamad Umar, 74,  berkata, rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi turut merasai gegaran ekoran letupan kuat yang mengejutkannya sekeluarga.

“Saya terus bangun apabila dengar bunyi letupan kerana gegaran yang berlaku menyebabkan sakit dalam dada.

“Saya pun panggil anak dan kami naik motosikal bagi meninjau keadaan dan sampai di tempat kejadian, sebuah kereta terbakar dan rumah runtuh beserta masih ada berlaku letupan kecil.

“Masing-masing tidak berani pergi terlalu dekat kerana bimbang akan berlaku lagi letupan, cuma apa saya boleh kata, ia terlalu dahsyat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, jabatan itu menjalankan siasatan menyeluruh membabitkan pelbagai sudut kerana kemusnahan dua rumah jenis semi D tersebut dipercayai bukan berpunca daripada kebakaran.

Beliau tidak menolak kemungkinan letupan yang berlaku dipercayai berpunca daripada beberapa bahan termasuk mercun dan bunga api.

“Jika dilihat pada dasarnya kejadian ini, bahan yang berlaku letupan kemungkinan daripada dapur masak gas atau bahan lain yang masih dalam siasatan. Siasatan terperinci sedang dijalankan untuk mendapatkan pengesahan yang menyebabkan berlakunya letupan yang dahsyat ini.

“Berdasarkan tinjauan, saya lihat ada silinder gas dan bunga api. Jika betul bunga api dan mercun, kita ingin dapatkan kapasitinya sehingga berlaku letupan yang teruk hingga memusnahkan dua buah rumah, masing-masing 100 peratus dan 90 peratus,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN