PETALING JAYA: Dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin antara 31 ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir ketika sesi pengundian Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kelmarin.
Turut tidak hadir, tiga ketua whip parti kerajaan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pas) dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tugas ketua-ketua whip adalah bertanggungjawab memastikan disiplin dan kehadiran ahli Parlimen ke sidang Dewan Rakyat.
Selain nama tersebut, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (Putrajaya) dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut tidak berada dalam undian.
Disebabkan itu, Dewan Rakyat gagal meluluskan usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi apabila usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong.
Tidak hadir
Baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir iaitu melibatkan 31 Ahli Parlimen kerajaan manakala 18 lagi Ahli Parlimen pembangkang.
Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri tidak lagi boleh melanjutkan kuat kuasa SubSeksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, beliau hairan apabila terdapat dalam kalangan pemimpin kerajaan menjaja cerita kononnya PH ingin menggagalkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pihaknya bersama kerajaan.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, dalam situasi tersebut lebih baik pemimpin kerajaan menjelaskan mengapa wakil rakyat mereka tidak hadir untuk sokong usul sendiri.
“Berdasarkan saksi Ahli-Ahli Parlimen yang hadir semalam (kelmarin) waktu undian usul SOSMA, antara mereka yang tidak hadir untuk mengundi termasuklah Bagan Datuk, Pekan, Pagoh dan Pontian.
“Kalau dua tiga daripada mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus. Kenapa tak hadir?” soal beliau menerusi Facebook miliknya semalam.
Semakan kemudian mendapati, ketidakhadiran Najib dalam undian itu kerana beliau berada di mahkamah sehingga lewat petang manakala Abdul Hadi menjalani kuarantin kerana dijangkiti Covid-19 manakala beberapa wakil rakyat lain berada di luar negara atas tugasan rasmi.
Ahmad pula menjelaskan, beliau tidak mengambil bahagian semasa undian kerana dimaklumkan pada awalnya tiada pengundian.
Namun ada juga wakil-wakil rakyat dikatakan masuk lewat ketika pengundian antaranya Mohamed Azmin dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.- UTUSAN










