Kesibukan bekerja sering menyebabkan ibu bapa mempunyai masa terhad bersama anak, malah ada yang keluar rumah ketika hari masih gelap dan pulang ketika anak sudah tidur.
Keadaan itu mungkin menjadi kebiasaan dalam kehidupan moden, terutama bagi ibu bapa yang perlu bekerja untuk memenuhi keperluan keluarga.
Namun, usaha menyediakan kehidupan yang selesa tidak seharusnya menyebabkan keperluan emosi anak terabai.
Pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan remaja serta pengasas CPC International, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, perhatian ibu bapa amat penting kerana zaman kanak-kanak hanya dilalui sekali dan tidak akan berulang.
Menurutnya, kekurangan perhatian dan komunikasi boleh menyebabkan hubungan emosi antara ibu bapa dan anak semakin renggang.
“Walau apa pun alasan kita, kanak-kanak ini zaman mereka sekali sahaja. Mereka tidak akan mengulanginya lagi. Jadi, perhatian ibu bapa kepada anak sangat penting,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bukan sekadar duduk serumah
Dr. Noor Aishah berkata, hubungan rapat antara ibu bapa dengan anak perlu dibina melalui ikatan emosi dan fizikal, bukan sekadar tinggal di bawah satu bumbung.
Katanya, ibu bapa yang berada di rumah, termasuk mereka yang bekerja dari rumah, tidak semestinya mempunyai hubungan rapat dengan anak sekiranya tiada komunikasi antara mereka.
Kesibukan boleh menyebabkan ibu bapa jarang berbual atau bertanya khabar anak walaupun berada di rumah yang sama.
“Adakah ibu ayah ini bercakap dengan anak, memandang matanya, menyentuhnya dan bertanya tentang masalahnya? Itu sangat penting.
“Komunikasi secara lisan ini penting supaya boleh melekat dekat hati anak,” katanya.
Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menyediakan makanan, pakaian dan keperluan anak, sebaliknya perlu disertai komunikasi serta perhatian,
Justeru, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk berbual, bertanya khabar dan mengambil tahu tentang masalah anak, bukannya sekadar berada bersama secara fizikal, tetapi masing-masing sibuk dengan urusan sendiri atau gajet.
Anak perlu selesa mencari ibu bapa
Ibu bapa perlu menjadi individu pertama yang dicari anak apabila mereka berhadapan dengan masalah atau memerlukan tempat untuk meluahkan perasaan.
Hubungan yang kukuh membolehkan anak berasa selesa untuk berkongsi kerisauan, meminta bantuan dan mendapatkan pandangan ibu bapa.
Keadaan itu penting supaya anak berasa yakin untuk mendapatkan bantuan dan jawapan daripada ibu bapa apabila berdepan masalah.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan ibu bapa mempelajari ilmu keibubapaan, termasuk cara berinteraksi dengan anak dan membina hubungan emosi sejak awal.
“Kalau anak selalu mencari kita, itu menunjukkan mereka selesa, mempunyai kepercayaan dan yakin kita boleh memberikan jawapan kepada masalah mereka.
“Apabila anak berjumpa kita ketika menghadapi masalah, mereka boleh berasa lebih tenang,” jelasnya.
Jangan tunggu anak menjauh
Katanya, kekurangan komunikasi dan kasih sayang sejak kecil boleh menyebabkan hubungan anak dengan ibu bapa semakin renggang apabila mereka dewasa.
Menurut Dr. Noor Aishah, ada anak berusia 16 hingga 17 tahun yang berasa kekok untuk berinteraksi secara mesra dengan ibu bapa kerana tidak terbiasa dengan hubungan sedemikian sejak kecil.
Keadaan itu antaranya berlaku apabila ibu bapa keluar bekerja terlalu awal ketika anak masih tidur.
“Hubungan yang renggang boleh berpunca daripada kurangnya perhatian dan sentuhan kasih sayang.
“Kadang-kadang kita tengok, kenapa anak tak rapat dengan kita walaupun dia dah dewasa? Sebab dari awal kita pun tak rapat dengan dia.
“Kita kurang sentuhan, kurang usap rambut kepala dia, kurang peluk cium dia dan tak bertanya tentang emosi. Yang kita lebihkan ialah material,” ujarnya.
Belum terlambat minta maaf
Bagi ibu bapa yang merasakan hubungan dengan anak semakin renggang, Dr. Noor Aishah berkata, langkah pertama ialah kesediaan mengakui kekurangan diri dan berusaha memperbaikinya.
Ibu bapa tidak seharusnya berasa ego untuk meminta maaf kepada anak sekiranya menyedari mereka selama ini kurang memberikan perhatian.
“Kalau kita fikir kita sudah mengabaikan anak, tidak salah untuk kita cakap, ‘Maaf ya, mama tak perasan. Kamu inilah penyejuk hati mama.’
“Kemudian, kita beritahu mereka yang mereka penting dalam hidup kita,” ujarnya.
Beliau berkata, ibu bapa juga boleh memulakan usaha itu dengan memberikan pujian dan meluahkan rasa sayang supaya anak tahu mereka dihargai.











