Naik taraf pelabuhan Teluk Gading atasi isu feri Tioman

Naik taraf pelabuhan Teluk Gading atasi isu feri Tioman

PENDUDUK di Pulau Tioman berharap pelabuhan di Teluk Gading dan Mersing, Johor dinaik taraf bagi mengatasi isu feri di pulau peranginan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kira-kira 3,500 penduduk di Pulau Tioman di sini, berharap pelabuhan di Teluk Gading dan Mersing, Johor dapat dimodenkan segera menerusi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur, mendalamkan laluan serta membina pemecah ombak bagi mengatasi masalah gangguan perkhidmatan feri di pulau percutian itu. ​

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tekek, Abd. Hafaz A. Hamid berkata, menaik taraf kemudahan pelabuhan di kedua-dua muara sungai berkenaan adalah kunci utama dalam memastikan operasi feri dapat berjalan dengan lebih stabil, selamat dan berterusan dalam pelbagai keadaan cuaca.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan masalah gangguan akibat air surut malah membolehkan lebih banyak feri beroperasi bagi mewujudkan persaingan sihat serta mengelakkan kebergantungan kepada satu pengusaha atau monopoli yang membebankan pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

​“Bagi penduduk pulau, feri bukan pengangkutan untuk melancong semata-mata sebaliknya ia adalah penghubung utama untuk urusan kesihatan, pendidikan, pekerjaan, perniagaan dan pelbagai keperluan harian di tanah besar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Abd. Hafaz berkata, penduduk meletakkan harapan tinggi agar operator feri menyediakan perkhidmatan cekap dan menepati jadual selain mewujudkan sistem pemakluman segera serta pelan alternatif sekiranya berlaku kerosakan feri demi keselesaan pengguna dan pelancong.

Katanya, isu tambang munasabah turut menjadi perhatian utama dengan harapan kerajaan dapat mempertimbang bantuan dan subsidi bersasar seperti sokongan bahan api dan operasi supaya harga tiket dapat dikawal tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan pengusaha.

​Beliau turut menekankan kepentingan model pengurusan baharu yang lebih mampan sama ada menerusi pengendali kerajaan negeri, operator baharu atau kerjasama awam-swasta, asalkan ia diletakkan di bawah petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas merangkumi aspek keselamatan serta mutu perkhidmatan.

“​Selain itu, jaminan pengangkutan untuk urusan kecemasan seperti rawatan hospital, keperluan pelajar dan pekerja perlu disediakan secara berterusan agar kebajikan penduduk sentiasa terpelihara walaupun ketika berlaku gangguan perkhidmatan,” katanya.

Bagi memastikan kawal selia yang lebih efektif, beliau mencadangkan semua feri yang beroperasi ke Pulau Tioman diwartakan secara rasmi sebagai pengangkutan awam supaya tertakluk kepada piawaian keselamatan, jadual dan struktur tambang yang lebih telus.

Sementara itu, Abd. Hafaz menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Pahang yang kini sedang meneliti pelbagai pilihan pengurusan perkhidmatan feri untuk jangka panjang.

​“Pulau Tioman adalah aset pelancongan negara, tetapi yang lebih penting, Tioman ialah tempat tinggal dan sumber kehidupan rakyat. Maka, kebajikan penduduk mesti menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan,” jelasnya.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, masalah kelewatan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman yang berlarutan sejak sekian lama terus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengunjung, sekali gus menjejaskan reputasi pulau peranginan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini