Tiada pembalakan di kawasan 'Paru-Paru Kelantan'

Tiada pembalakan di kawasan ‘Paru-Paru Kelantan’

TANDAK air di Kampung Gong Menkelih, Pasir Puteh keruh bukan disebabkan pembalakan di HSK Ulu Sat, sebaliknya kerana kerja-kerja penebangan pokok getah dan penolakan tanah oleh pihak Felcra Teratak Batu. - FOTO/IHSAN JABATAN PERHUTANAN KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Kelantan menafikan berlakunya pembalakan tidak terkawal di Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Sat atau HSK Chabang Tongkat yang terkenal dengan nama jolokan ‘Paru-Paru Kelantan’

Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah berkata, masalah air tadahan menjadi keruh sehingga menjejaskan 500 penduduk Kampung Gong Menkelih, Pasir Puteh baru-baru ini juga tidak ada kaitan dengan kegiatan itu.

Kata beliau, hasil semakan pihaknya mendapati tandak air tersebut sebenarnya berada dalam kawasan tanah milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Teratak Batu.

“Keadaan tandak air tersebut keruh disebabkan terdapat kerja-kerja penebangan pokok getah dan penolakan tanah oleh pihak Felcra Teratak Batu.

“Penebangan dilakukan kerana pokok-pokok tersebut sudah tua dan pihak Felcra akan menjalankan projek tanaman semula bagi menggantikan pokok yang telah ditebang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, penduduk Kampung Gong Menkelih mengadu kolam tadahan yang menjadi sumber bekalan air bersih mereka selama ini bertukar menjadi kotor dan keruh akibat aktiviti penebangan tidak terkawal di HSK Ulu Sat sejak awal tahun lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim berkata, HSK Ulu Sat dan HSK Chabang Tongkat yang lokasinya berdekatan dengan Felcra Teratak Batu telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan selain dikelaskan di bawah Hutan Tadahan Air. 

Oleh itu tegas beliau, tiada sebarang kelulusan untuk aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.

“Jabatan Perhutanan akan memantau dan memastikan HSK Ulu Sat dan HSK Chabang Tongkat yang terkenal dengan jolokan ‘Paru-Paru Kelantan’ sentiasa terpelihara daripada sebarang gangguan atau pencerobohan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN