PUTRAJAYA: Harta suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah boleh disita atau dilelong, malah akaun mereka juga boleh dibekukan manakala pendapatan mereka ditahan.
Tuntutan itu boleh difailkan isteri atau bekas isteri di mahkamah syariah apabila suami atau bekas suami gagal melaksanakan tanggungjawab berhubung nafkah tertunggak yang jelas membelakangi perintah mahkamah serta dianggap menzalimi pasangan dan anak-anak .
Penguatkuasaan perintah nafkah secara hiwalah itu dilaksana berikutan 6,088 kes tunggakan nafkah di Mahkamah Syariah seluruh negara sejak 2017 hingga 2021
Ia meliputi lima kes tunggakan nafkah dengan kes tertinggi melibatkan nafkah anak sebanyak 4,618 kes, diikuti nafkah mut’ah (686 kes), nafkah iddah (528 kes) dan nafkah isteri (256 kes) sepanjang tahun 2017 hingga 2021.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tunggakan nafkah itu tidak dapat diselesaikan apabila suami atau bekas suami atau bapa (penghutang penghakiman) gagal dikesan.
Selain itu, ia disebabkan ketidakhadiran pihak-pihak atau saksi ke mahkamah sewaktu prosiding kes dijalankan atau tidak ada kerjasama di antara pihak-pihak untuk menyelesaikan kes secara baik (sulh).
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perintah nafkah secara hiwalah dilaksanakan iaitu pembekuan akaun suami atau bekas suami yang culas membayar perintah nafkah.
Tindakan sekatan akaun bank itu dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari tahun lalu.
Melalui pindaan ini, jelas beliau, perintah hiwalah kini boleh dilaksanakan oleh institusi kewangan berlesen di bawah akta-akta tersebut ke atas simpanan penghutang penghakiman sekali gus memberi nilai tambah kepada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) khususnya dalam menjalankan fungsi penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah.
Katanya, kaedah penguatkuasaan ini boleh diguna pakai dan dimanfaatkan dalam usaha BSK menyantuni Keluarga Malaysia, iaitu golongan ibu-ibu tunggal dan anak-anak yang dinafikan hak mereka.
“Pemiutang penghakiman perlu memohon kepada mahkamah agar wang suami atau bekas suami atau bapa yang berada di pihak ketiga seperti bank ditahan transaksinya dan dibayar kepada pemiutang penghakiman sekadar jumlah yang terhutang.
“Oleh itu, pihak isteri atau bekas isteri perlu mempunyai maklumat yang jelas tentang kedudukan akaun suami atau bekas suami,” katanya di sini semalam.
Mohd. Na’im yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) berkata, selain tindakan sekatan akaun suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah, terdapat beberapa tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah yang boleh difailkan di mahkamah syariah seperti sitaan dan jualan harta secara lelongan suami atau bekas suami itu serta penahanan pendapatan mereka.
Kata beliau, penghutang itu juga boleh dikenakan saman dan perintah penghakiman untuk melunaskan tunggakan nafkah itu serta tindakan perintah pengkomitan ke penjara turut dilaksanakan bagi memastikan perintah-perintah tersebut dipatuhi demi kewibawaan mahkamah syariah itu sendiri dihormati masyarakat.
“Tindakan-tindakan ini bagi memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah syariah dilaksanakan dan keadilan diberikan kepada mereka yang berhak menerimanya iaitu isteri atau bekas isteri dan anak-anak.
“Sehingga ke hari ini, BSK seluruh Malaysia sangat komited dalam membantu memastikan perintah-perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah syariah dilaksanakan. Pada 2021, BSK berjaya melepasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan dengan menyelesaikan sebanyak 993 kes pelanggaran perintah nafkah dan mut’ah,” katanya.
Beliau berkata, antara contoh kes yang berjaya diselesaikan ialah BSK Seksyen Negeri Kedah pada 30 Mac tahun lalu dengan merekodkan penyelesaian tunggakan nafkah anak sebanyak RM4,000 sebulan, bayaran awal persekolahan sebanyak RM4,000 dan bayaran perayaan sebanyak RM3,000.00 dengan jumlah tunggakan sebanyak RM63,2000.
Katanya, menerusi kes itu, penghutang penghakiman bersetuju untuk membayar pendahuluan tunggakan sebanyak RM20,000 secara pindahan wang dan selebihnya dibayar secara ansuran sebanyak RM2,400 sebulan selama 18 bulan.
Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, sekiranya bapa gagal memberi nafkah, pihak BSK melaksanakan solusi antaranya, pegawai BSK yang diberikan tauliah sebagai peguam syarie akan mewakili isteri atau bekas isteri secara percuma untuk menguatkuasakan perintah nafkah yang dikeluarkan mahkamah syariah.
Selain itu katanya, pihak BSK turut menyalurkan pendahuluan nafkah atau bantuan nafkah kepada isteri atau bekas isteri atau anak dalam tempoh enam bulan, sementara prosiding kes penguatkuasaan perintah berjalan.
“Pegawai BSK yang diberikan tauliah sebagai bailif akan melaksanakan perintah mengikut cara diluluskan oleh mahkamah seperti sitaan dan jualan serta menyalurkan maklumat klien kepada agensi berkenaan bagi mendapatkan apa-apa bantuan seperti pusat pungutan zakat,” katanya. – UTUSAN










