RUU Lompat Parti mesti dibentang dahulu

RUU Lompat Parti mesti dibentang dahulu

undi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti mesti dibentangkan mengikut jadual selaras dengan kandungan dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Teknikal Rang Undang-Undang itu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sekalipun terdapat pihak didakwa tidak menunjukkan komitmen merealisasikannya, namun jadual, mesyuarat dan taklimat sudah dibuat selain dimaklumkan kepada semua ahli Parlimen.

WILFRED MADIUS TANGAU

Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) itu menegaskan tiada sebarang pertikaian lagi berhubung tafsiran ‘lompat parti’ kerana telah diperincikan dan hanya perlu dibentang semasa sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen Keempat bermula 28 Februari ini.

“Rang undang-undang ini tentunya tidak sempurna, tetapi yang penting mesti dibentangkan dahulu melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan. Tanpa MoU, kerajaan dan pembangkang mungkin tidak dapat meluluskannya.

“Saya tidak tahu di mana lagi (pertikaian) soal tafsiran lompat parti. Untuk berlaku adil, saya rasa hanya apabila ia sudah dibentang atau dikeluarkan, baharulah pihak berkenaan memberi pelbagai pandangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju membentang dan memuktamadkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.

RUU berkenaan sebagai salah satu transformasi pentadbiran menerusi MoU antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September tahun lalu.

Bagaimanapun, kelmarin, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mendakwa kerajaan cuba melengahkan pelaksanaannya setelah merujuk kepada kenyataan Wan Junaidi bahawa RUU itu belum mencapai kata sepakat.

FAHMI FADZIL

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini pihak pembangkang belum berbincang mengenai hal memungkinkan rang undang-undang itu tidak dapat dibentang seperti dijadualkan.

Beliau enggan berkongsi kandungan dalam rang-undang undang berkenaan kerana bersifat rahsia, namun ia sudah sedia dibentang dan hanya tinggal kemahuan politik (political will) kerajaan untuk meneruskannya.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH itu berkata, pembangkang akan mengambil tindakan lanjut dengan merujuk pada kandungan dalam MoU jika berlaku sebarang ‘pelanggaran kontrak’.

“PH belum adakan perbincangan khusus tentang hal ini, tetapi, kami tidak melihat kenapa perlu ada masalah untuk melaksanakan baki-baki perjanjian termasuk anti lompat parti dalam MoU.

“Setakat yang saya baca di media, UMNO di Johor memberi komitmen menggubal enakmen antilompat parti, kalau Johor boleh buat seperti itu, kenapa tidak di peringkat Pusat?,” katanya.

Sementara itu, mengulas jika RUU itu tidak dibentang mengikut masa, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata: “Tidak perlu buat kesimpulan. Kena dengar laporan daripada jawatankuasa berkenaan, jika didapati alasannya remeh, kita kena ambil tindakan.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari mendakwa Perdana Menteri tidak menunjukkan komitmennya, ini sebagai tekanan untuk ia cepat diluluskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN