Ceroboh perairan: Jabatan Perikanan tidak bertindak - Utusan Malaysia

Ceroboh perairan: Jabatan Perikanan tidak bertindak

Nor Azam Karap
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Perikanan negeri perlu memastikan tidak berlaku pencerobohan bot-bot nelayan termasuk dari Kedah dan Thailand yang menjalankan aktiviti penangkapan siput retak seribu secara tidak sah di perairan Kuala Perlis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap berkata, ini kerana pihaknya telah berjumpa dengan Persatuan Nelayan Perlis yang mengadu mengenai isu pencerobohan dan pihaknya sudah memaklumkan kepada agensi Jabatan Perikanan.

“Saya juga sedia maklum mengenai pencerobohan bot-bot nelayan terutamanya dari Kedah yang menceroboh masuk dan menggunakan mesin serta sangkar besi yang besar untuk menangkap siput retak seribu sehingga merosakkan dasar laut pada skala besar,” kata beliau.

Menurut beliau, antara tindakan perlu diambil seperti menyita bot-bot besar nelayan luar yang menceroboh sekali gus menjadi pengajaran kepada nelayan lain agar tidak berani menceroboh perairan negeri ini.

“Tindakan mencari siput retak seribu menjejaskan habitat hidupan marin, merosakkan tempat pembiakan serta sumber makanan ketam, udang dan ikan sekali gus merencatkan kitaran hidupan laut berkenaan,” katanya.

Katanya, kerosakan dasar laut perairan negeri ini akan memberi kesan buruk kepada hasil tangkapan nelayan dalam jangka masa panjang.

Tambah Nor Azam, terdapat segelintir nelayan pesisir pantai yang menjalankan aktiviti menangkap siput retak seribu menggunakan kaedah tradisio­nal atau menggunakan sangkar kecil bagi menyara hidup mereka.

Namun katanya, tahap kerosakan dasar laut itu tidaklah seteruk bot nelayan yang menggunakan mesin dan sangkar besar.

Katanya, perbincangan menyeluruh meliputi semua pihak terlibat serta keputusan perbincangan itu agar lebih menjurus untuk meminimakan kerosakan ekosistem di perairan negeri Perlis perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya pernah mencadangkan usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis agar diberikan lesen atau pas bermusim menangkap siput retak seribu kepada 20 nelayan yang berdaftar dengan persatuan nelayan dan kumpulan ini diberikan syarat seperti me­lakukan aktiviti itu di kawasan atau zon tertentu.

Tangkapan pula hanya dilakukan pada waktu siang bagi memudahkan pihak berkuasa memantau pergerakan mereka.

“Dengan cara ini, semua pihak seperti kerajaan dan golongan nelayan akan mendapat faedah bersama manakala kerosakan dasar laut dapat dikawal bagi meneruskan kitaran hidup sumber laut.

Apa pun tindakan diambil, sebolehnya menjurus ke arah situasi menang-menang semua pihak,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN