BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) masih belum memuktamadkan calon MCA yang bertanding dalam PRN Melaka yang mencetuskan pertikaian semalam.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong terkejut tidak dimaklumkan oleh urusetia mengenai pengumuman calon itu.
“Walau bagaimanapun ini masalah yang akan kita selesaikanlah. Kita akan adakan perbincangan sebelum 31 Oktober (Hari Penamaam Calon PRN Melaka).
“Itu saya serahkan pada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kerana mungkin beliau telah berbincang dengan pengerusi dan kepimpinan negeri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian hadiah acara Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk 2026 di sini hari ini.
Seramai 1,700 peserta daripada 37 negara terlibat dalam larian tersebut.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya calon-calon tersebut tidak dipersetujui oleh MCA, terdapat ruang untuk menanganinya kerana urusan menandatangani watikah calon PRN Melaka belum dimuktamadkan.
Media melaporkan MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.
Beliau juga mendakwa MCA tidak dimaklumkan lebih awal bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam semalam akan membabitkan pengumuman calon, sebaliknya diberitahu bahawa ia hanya majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Semalam, MCA diperuntukkan dua kerusi untuk PRN Melaka iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan Machap Jaya.
Berhubung status jerebu pula, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan membantu Indonesia untuk menangani isu tersebut sebaiknya. – UTUSAN











