Banjir: Ada belum dapat bantuan - Utusan Malaysia

Banjir: Ada belum dapat bantuan

WARGA emas, Rohana Mahfuz, 76, merenung tapak rumahnya yang masih tidak berubah seperti selepas dilanda banjir Disember lalu di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, semalam. Kisah Rohana tular di media sosial sebelum ini apabila rumahnya dihanyut air deras dan yang tinggal tangga batu sahaja. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masih ramai mangsa banjir di beberapa kawasan Shah Alam dan Hulu La­ngat belum mendapat bantuan yang diumumkan kerajaan walaupun tragedi banjir telah berlalu lebih sebulan.

Ramai antara mereka masih bergelut untuk memulihkan kehidupan, malah ada penduduk belum mendapat bantuan untuk pembinaan semula rumah yang musnah dalam bencana itu.

Segelintir pula bergantung kepada bantuan saudara-mara dan rakan-rakan untuk meneruskan kehidupan seharian sementara menunggu permohonan mendapatkan bantuan diluluskan.

Utusan Malaysia turut me­nemui warga emas, Rohana Mahfuz, 76, di Hulu Langat yang tular dalam media sosial selepas rumahnya dihanyutkan arus deras dan tinggal tangga batu, masih dalam keadaan yang sama, malah dia sendiri tinggal dalam kabin.

Seorang mangsa, Norzatul Asmawiyah Rosidan, 33, berkata, dia menghantar borang permohonan bagi mendapatkan dua bantuan pada 29 Di­sember lalu di Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Petaling, namun belum mendapat maklum balas.

“Saya hairan mengapa masih belum dapat sedangkan sudah hantar dokumen yang diperlukan bagi memohon bantuan itu.

“Selain dua bantuan itu, permohonan saya untuk mendapatkan e-rebat barang elektrik pun belum mendapat kelulusan,” katanya ketika ditemui di gerainya.

Hal yang sama turut diluahkan Maizun Che Mahmud, 48, apabila mempersoalkan kelewatan pihak yang berkenaan meluluskan bantuan berkenaan.

“Saya dimaklumkan PTD berkenaan dokumen yang dihantar tidak lengkap, sedangkan salinan kad pengenalan, laporan polis serta bil elektrik sudah pun dihantar kepada mereka.

“Itu yang menghairankan saya kenapa pegawai PTD mengatakan dokumen yang saya beri tidak lengkap,” luahnya.

Di Hulu Langat, lebih 300 penduduk Taman Sri Nanding dekat sini masih lagi dibelenggu masalah untuk membaik pulih kediaman mereka yang musnah dilanda banjir bulan lalu.

Malah, ada dalam kala­ngan mereka masih menunggu bantuan kerajaan sebanyak RM60,000 bagi setiap mangsa untuk membina semula kediaman yang dihanyutkan banjir.

Kebanyakan mangsa banjir juga mendakwa masih trauma dengan bencana berkenaan dan sering berasa bimbang setiap kali hujan di kawasan itu.

Malah, sumbangan RM2,000 bagi setiap mangsa banjir juga tidak dapat mengembalikan kediaman mereka yang sudah rosak dan memerlukan kos pembaikan yang tinggi.

Penduduk Taman Sri Nan­ding, Mohd Syukri Abdul Rashid, 50, berasa kecewa kerana walaupun selepas sebulan, penduduk di taman itu masih lagi bertungkus-lumus membersihkan rumah selain perlu berdepan kos pemulihan yang tinggi.

“Kerajaan pusat atau kera­jaan negeri, kedua-duanya tidak dapat memastikan kami kembali menikmati kehidupan normal. Jumlah bantuan terlalu kecil jika dibandingkan dengan kos kerugian kami dan ini membuatkan saya sangat sedih.

“Sejak malam berlakunya banjir, saya anggarkan hampir 300 orang duduk di atas bumbung masjid berhampiran dan hanya satu dua bot kecil yang datang malah itu selepas beberapa jam.

Daripada masa itu sampai hari ini, kami masih menguruskan semuanya sendirian. Kerugian puluhan ribu namun bantuan hanya RM2,000,” katanya.

Malah, kebanyakan rumah masih dalam proses pembersihan dan penduduk di kawasan itu masih dalam keadaan trauma.

Bagi Johari Bidin, 61, dia akui wujud rasa takut setiap kali hujan lebat kerana masih teringat dengan kejadian ketika banjir berlaku Disember lalu.

“Hidup perlu diteruskan tetapi saya tidak rasa ini semua normal. Malam itu, air naik terlalu cepat dan disebabkan itu, saya mendukung isteri saya yang tidak boleh berjalan kerana strok.

“Tongkat isteri saya juga hanyut dalam banjir itu, sehingga sekarang dia gunakan tongkat yang lama kerana kami masih belum mampu untuk beli tongkat yang swerupa. Kalaulah ada pemimpin boleh turun padang dan temui penduduk sekarang, boleh kami cerita dan minta bantuan yang berpatutan,” katanya.

Pada 19 Disember yang lalu, kira-kira 1,000 rumah penduduk di Taman Sri Nanding di sini ditenggelami air hingga paras bumbung berikutan hujan berterusan lebih 48 jam.

Sementara itu, Faridah Tiasari, 47, menganggap perkara itu adalah ujian daripada tuhan walaupun keadaan keluarganya masih belum stabil.

“Kami ini kumpulan B40 sejak sebelum banjir lagi. Jadi selepas dah banjir dan kami kehilangan harta benda lagi ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’. Namun nasib rakyat, kami perlu bersabar dengan dugaan ini dan saya juga bersyukur kerana badan bukan kerajaan (NGO) juga banyak membantu kami,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×