Sesi Dewan Rakyat kecoh - Utusan Malaysia

Sesi Dewan Rakyat kecoh

RSN RAYER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sesi persidangan Dewan Rakyat hari kedua semalam ‘panas’ apabila dimulakan dengan pertikaian berhubung sekatan yang dibuat kerajaan terhadap ahli parlimen pada 2 Ogos lalu.

Bermula dengan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan mengapa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyekat hak ahli Dewan Rakyat untuk ke Parlimen.

Malah, Ketua Pembangkang , Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta penjelasan mengapa beliau juga disekat untuk pergi ke pejabat Ketua Pembangkang.

Ia kemudian mendapat respon daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan menjelaskan Parlimen telah ditangguhkan dan tiada keperluan untuk ahli Dewan Rakyat hadir ke Parlimen ketika itu.

Sebelum itu, Speaker Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan langkah pencegahan penularan Covid-19 sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat giat dilakukan termasuk mewajibkan semua ahli parlimen menjalani ujian RTK setiap Isnin dan Rabu.

Perkara itu dipersetujui ketika mesyuarat jawatankuasa dewan semalam yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Shahidan Kassim (Arau) Dr Hatta Ramli (Lumut) dan Alice Lau (Lanang).
Selain itu, isu mengenai usul supaya Azhar mengosongkan jawatan Speaker Dewan Rakyat turut menimbulkan kekecohan kerana ahli parlimen mendesak supaya penjelasan diberikan dalam Dewan Rakyat.

Namun, Timbalan Speaker, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, penjelasan sudah diberi kepada ahli Dewan Rakyat yang mengusulkan perkara itu, sekali gus beliau tidak perlu memberi penjelasan sekali lagi dalam Dewan Rakyat.
Perkara itu menimbulkan kemarahan pembangkang sehingga Rayer menyifatkan Mohd. Rashid salah guna kuasa dan memalukan.

Susulan itu, Rayer diarah keluar dari Dewan Rakyat kerana enggan menarik balik perkataan tersebut yang melanggar Peraturan Mesyuarat.

Dalam masa sama, Wan Junaidi turut memaklumkan, pemilihan Timbalan Speaker akan ditangguhkan mengikut Peraturan Mesyuarat 6.

Jelas Wan Junaidi, penangguhan itu adalah kerana ingin membuat pindaan perkara 57 (1) untuk menambahkan jumlah daripada dua Timbalan Speaker kepada tiga Timbalan Speaker. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN