PUTRAJAYA: Suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung September ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia selaras dengan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, usul berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, sekali gus diharapkan dapat menyelesaikan polemik berkaitan pembatalan ordinan-ordinan darurat secara harmoni dan berperlembagaan.
“Proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong seperti mana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai lalu tidak dapat disempurnakan.
“Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, ini sedangkan pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.
Beliau berkata, Seri Paduka amat berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.
Pada 26 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri kemudiannya menyatakan bahawa kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










