Video tular kes ragut bukan di Pulau Pinang tapi di luar negara  - Utusan Malaysia

Video tular kes ragut bukan di Pulau Pinang tapi di luar negara 

VIDEO kejadian ragut melibatkan seorang wanita di sebuah pasar raya yang tersebar di dalam media sosial dan mendakwa berlaku di Timur Laut, Pulau Pinang sedangkan kejadian sebenar adalah di Amerika Syarikat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kejadian ragut beg tangan seorang pelanggan wanita yang videonya tular di media sosial bukan berlaku di sebuah pasar raya di daerah Timur Laut di sini sebaliknya ia kes di luar negara.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, video rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) itu tular di Facebook dan WhatsApp sejak semalam. 

Menurut beliau, video berdurasi 29 saat itu memaparkan kejadian seorang lelaki berbaju hitam menarik beg tangan seorang wanita secara agresif semasa mangsa berurusan di kaunter pembayaran. 

“Semakan polis mendapati  kejadian tersebut berlaku di pasar raya Dataran Quantong di San Gabriel, Los Angeles, bukannya di daerah Timur Laut di sini seperti didakwa. 

“Kita menasihati orang ramai  tidak menyebarkan apa-apa video atau maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya,” katanya di sini hari ini. 

Bagaimanapun, beliau memberitahu, orang ramai boleh mengambil iktibar dan panduan daripada kejadian yang berlaku  serta sentiasa berwaspada pada keadaan persekitaran supaya tidak memberi peluang kepada penjenayah melakukan jenayah. 

Terdahulu, video tersebut mendapat pelbagai kecaman sekali gus mengundang kebimbangan dalam kalangan warganet berhubung kejadian jenayah yang berlaku ketika rakyat sedang bergelut dengan penularan pandemik Covid-19. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN