PUTRAJAYA: Seramai 64,046 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dalam tempoh setahun lalu selain turut mengorbankan lapan petugas kesihatan termasuk dua doktor pakar.
Jika itu masih tidak menakutkan masyarakat, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi amaran bahawa gelombang ketiga yang sedang berlaku ketika ini lebih ganas dan kritikal.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Dr. Adham berkata, golongan kanak-kanak tidak terkecuali kerana mereka turut berisiko dijangkiti Covid-19.
Justeru, beliau meminta ibu bapa tidak mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama dengan tidak membawa anak-anak ke tempat awam.
Dr. Adham memberitahu, ancaman wabak tersebut sedang diburukkan dengan kewujudan varian-varian baharu seperti varian Afrika Selatan (B.1.351), varian United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617.1) yang merebak dengan pantas.
Menurut beliau, kemunculan varian-varian tersebut merisaukan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala, malah ujian saringan sering mencatatkan keputusan negatif sekalipun ada pesakit sudah berada pada tahap kritikal.
Perkembangan itu, Kata dr. Adham, membawa kepada kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing susulan kelemahan pematuhan SOP sebahagian ahli masyarakat.
“Strategi-strategi digariskan kerajaan tidak akan berkesan jika SOP tidak dipatuhi dan norma-norma baharu tidak diamalkan oleh semua masyarakat,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, negara masih berperang dengan musuh yang tidak kelihatan jadi rakyat kena sama-sama berusaha lebih kuat bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan seterusnya menamatkan pandemik.
Selain ancaman kepada kanak-kanak, Dr. Adham berkata, wabak itu juga telah meragut lapan nyawa petugas kesihatan termasuk melibatkan dua orang doktor pakar.
“Seorang doktor pakar itu bertugas di Kementerian Kesihatan (KKM) manakala seorang lagi yang bertugas di sebuah hospital swasta.
“Seramai lima jururawat iaitu tiga jururawat yang bertugas di KKM dan dua jururawat yang bertugas di hospital Kementerian Pendidikan Tinggi turut terkorban.
“Ini termasuk seorang pembantu perawatan kesihatan yang bertugas di salah sebuah Klinik Kesihatan KKM,” katanya beliau.
Sebelum ini, Dr. Adham mendedahkan, bilangan petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 semakin membimbangkan apabila naik mendadak kepada 2,328 orang pada Januari lalu dengan keseluruhan yang positif seramai 6,620 orang sejak Mac tahun lalu.
Jumlah petugas kesihatan dijangkiti terus meningkat selepas September tahun lepas ketika bermula tempoh gelombang ketiga pandemik yang merekodkan 84 kes dijangkiti pada September dan angka itu terus melonjak kepada 539 kes pada Oktober tahun lalu.
Beliau berkata, sepanjang ini sahaja seramai 868 petugas kesihatan perlu menjalani kuarantin atau perintah pengawasan di rumah (HSO).
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut merekodkan seramai 180 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas tempoh 14 hari menerima dos kedua vaksin Covid-19.
“Kumpulan petugas kesihatan terpaksa terus merisikokan diri menghadapi ancaman Covid-19 sehingga bergadai nyawa kerana menjalankan tugas memberikan penjagaan rawatan kepada pesakit yang bermula sejak tahun lalu,” kata beliau.
Bagaimanapun, tambah beliau, kes positif di negara ini semakin meningkat dan masih mencatatkan kes harian melebihi 4,000 dengan jumlah kumulatif setakat ini mencecah 474,556 kes dengan jumlah kematian 1,947 kes manakala kes aktif masih mencatatkan 43,506 kes. – UTUSAN










