KUALA LUMPUR: Teka teki yang selama ini menjadi perbualan hangat warganet kini terjawab apabila Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 31, sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan, Haris Ismail, 26, tepat pukul 11.43 pagi dalam satu majlis di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.
Ibunya, Datin Noor Kartini berkata, ‘melepaskan’ Neelofa bukan satu perkara yang sukar sementelah dia percaya, anaknya itu mampu melunaskan tanggungjawab sebagai anak dan isteri dengan baik.
“Neelofa yang kita semua tahu sangat taat kepada ibu bapa dan keluarga, jadi saya tahu dia mampu menjadi isteri yang baik kepada Haris. Saya sendiri tidak menyangka rezeki Tuhan, dua menantu dalam tempoh dua minggu.
“Sekarang semua desas-desus sudah terjawab. Saya mohon semua peminat untuk sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk Neelofa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Noor Kartini turut berpesan supaya anaknya tahu tiada manusia yang sempurna dan cabaran serta ujian Tuhan akan sentiasa hadir sebagai tanda kasih serta sayang kepada umat-Nya.
“Setiap hamba Allah di dunia ini ada ujian dan cabaran masing-masing. Baik yang berkeluarga, bersuami atau bersendiri. Tiada yang sempurna.
“Jadi atasi setiap laluan itu dengan sabar dan percaya dengan percaturan Tuhan. Allah itu maha adil dan kaya dengan kasih sayang,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Kartini berkata, dia mengharapkan agar Neelofa akan terus menjadi sumber inspirasi dan tauladan yang baik kepada semua peminat yang selama ini memberi sokongan tiada berbelah bahagi kepadanya.
“Saya mendoakan agar Neelofa bahagia bersama suami, Haris. Semoga mereka dikurniakan zuriat yang baik-baik dan kekal hingga ke syurga,” katanya.
Sementara itu, Neelofa dinikahkan oleh adiknya, Mohd. Aqief Mohd. Noor yang mengundang rasa hiba 150 tetamu apabila dia sebak dan berhenti seketika tatkala mahu menyebut nama kakaknya itu.
Anggun dalam sepersalinan putih suci, Neelofa menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin dan turut menghadiahkan Haris atau PU Riz sebentuk cincin juga.‘Tak susah melepaskan Neelofa’
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami.
“Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insyaAllah,” ujar Neelofa dan Haris.
Majlis yang berlangsung dalam norma baharu serta kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat itu juga sekali gus menamatkan spekulasi yang bertebaran sejak beberapa hari sebelum ini.
Mengimbas kembali, hubungan cinta Neelofa dan Haris mula dihidu umum apabila mereka kelihatan sering bekerjasama dan turut terlibat dalam projek amal bersama-sama.
Walaupun pada mulanya, Neelofa dan Haris menyifatkan hubungan yang terjalin adalah atas dasar sahabat namun majlis dipercayai merisik pada 2 November menjadi ‘bukti’ mereka berdua menuju ke alam perkahwinan. -UTUSAN










