‘Saya lihat diri saya sendiri’ - Utusan Malaysia

‘Saya lihat diri saya sendiri’

WAN Mohd. Hafizam Wan Ismail (tengah) ketika mengebumikan jenazah Muhammad Afiq Ikmal Muhamad Zaini di Tanah Perkuburan Islam di pekarangan Masjid Al-Barakah, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah kelmarin. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Saya tidak mampu mandikan jenazah Allahyarham. Saya lihat diri saya sendiri yang sedang dimandikan ketika itu. Jadi saya ambil keputusan tak melakukannya.”

Demikian luahan penderma hati kepada Allahyarham Mohd. Afiq Ikmal, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail ketika jenazah dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang, kelmarin.

Peristiwa itu cukup memberi pengajaran dan menginsafkannya kerana separuh hatinya di­bawa bersama Allahyarham ke liang lahad yang menyebabkan Hafizam berfikiran sedemikian.

Katanya, perasaan itu sema­kin bertambah setelah dia melawat dan melihat keadaan Allahyarham terkujur di pembaringan dengan wayar berselirat serta alat bantuan pernafasan.

“Saya bayangkan saya yang terbaring di situ kerana tinggi pun lebih kurang sama. Saya rasa seram sejuk dan lemah lutut. Perlahan saya berundur dan duduk di kerusi kerana tidak sanggup melihat Afiq lagi.

“Dan ketika talkin dibaca selepas pengebumian, itu sebenarnya bukan untuk Afiq sahaja tetapi untuk saya dan semua orang tentang amalan selama hidup di dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, walaupun tiada sebarang pertalian persaudaraan dengan Allahyarham, hubu­ngan mereka ibarat keluarga dan sentiasa berhubung melalui telefon atau secara maya ekoran tuntutan kerja di Singapura.

Hafizam menyifatkan Afiq seorang pemalu dan tidak banyak bercakap, bagaimanapun Allahyarham dilihat seba­gai seorang pejuang selama hayatnya dan menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak lain yang menghidap penyakit sama.

“Percaturan Allah SWT memang cantik. Saya berusia 23 tahun ketika menjalani pembedahan pemindahan hati dan Allahyarham pergi meninggalkan dunia pada usia yang sama.

“Allahyarham banyak membantu, memberi nasihat dan ber­semangat kental. Andai berpeluang bercakap dengan dia dan jika masih ada di dunia, ingin saya pesan untuk terus buat kebaikan sebab Afiq memang orang yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN