Kedaifan jeti Orang Asli Pulau Indah - Utusan Malaysia

Kedaifan jeti Orang Asli Pulau Indah

KEADAAN jeti Orang Asli di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor yang kotor dan berbau busuk akibat tindakan individu menjadikan kawasan itu sebagai tempat membuang sampah termasuk sisa kilang. -MINGGUAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELABUHAN KLANG: Tindakan individu tidak bertanggungjawab membuang pakaian terpakai di jeti Orang Asli Pulau Indah di sini baru-baru ini membongkar kehidupan golongan itu yang tinggal dalam kedaifan.

Walaupun jeti itu hanya sementara dan bukannya tempat tinggal tetap bagi nelayan tersebut, namun kawasan itu kelihatan tidak terurus, kotor dan berbau busuk selain saluran longkang dipenuhi sampah sarap.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Tok Batin, Intan Pindik berkata, terdapat kira-kira 10 buah rumah yang dibina nelayan untuk dijadikan penempatan sementara di jeti tersebut sebagai tempat menunggu.

“Semua nelayan membina rumah itu menggunakan duit simpanan sendiri dan tinggal sementara bagi memastikan tiada bot atau peralatan untuk nelayan dicuri.

“Saya juga pernah memohon bantuan Jabatan Perikanan tetapi tidak diluluskan dan akhirnya nelayan mengambil keputusan membinanya menggunakan duit sendiri. Sejujurnya tiada mana-mana pihak yang membantu kami,” katanya.

Pihaknya juga kesal kerana permohonan untuk membina jejantas di kawasan berhampiran jeti itu tidak diluluskan pemaju di kawasan tersebut.

Jelasnya, pihaknya telah memohon supaya satu jejantas dibuat untuk kemudahan Orang Asli untuk pergi ke jeti tersebut, tetapi permohonan tidak diendahkan, sebaliknya mereka hanya membuat satu laluan kecil.

Keadaan rumah dan persekitaran perkampungan Orang Asli suku Mah Meri di Jeti Orang Asli Pulau Indah, Pelabuhan Klang Barat yang daif dan tidak terurus. – MINGGUAN/ZULFADHLI ZAKI

“Walaupun jarak perkampungan Orang Asli dengan jeti tidak sampai 100 meter, tetapi kedudukan jeti yang terletak di seberang ini membahayakan penduduk. Kami perlu melintas jalan dan berdepan dengan risiko kemalangan.

“Malah, saya sendiri pernah mengalami kemalangan ketika melintas untuk menuju ke jeti tersebut. Buat masa ini, saya juga menunggu kelulusan permohonan untuk menaik taraf beberapa buah rumah di perkampungan ini yang telah dipohon sejak enam bulan lalu,” katanya.

Sementara itu seorang nelayan, Napi anak Rahatan, 35, berkata, dahulu jeti nelayan tidak seperti ini namun kehadiran individu tidak dikenali membuang pelbagai sisa buangan mencemarkan kawasan tersebut.

“Mereka yang melakukan pembuangan sisa kilang atau apa sahaja termasuk pakaian terpakai baru-baru ini pada waktu malam ketika kami semua sedang tidur atau kebetulan tiada di kawasan jeti.

“Sememangnya kita kesal kerana mereka menjadikan kawasan jeti ini sebagai tapak pembuangan sampah,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN