MCA tiada ‘magis’ untuk tawan Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

MCA tiada ‘magis’ untuk tawan Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ramai sibuk memperkatakan tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terma­suk isu pembahagian kerusi dan strategi mendepani pilihan raya, di Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur, nama MCA seakan-akan tenggelam.

Tiada siapa tahu apa yang dilakukan parti itu untuk meraih kembali sokongan kaum Cina.

Dengan semua kerusi majoriti kaum Cina disapu bersih oleh DAP dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14, MCA seperti ‘menyerah’ kepada keajaiban untuk menang di kerusi berke­naan.

Sejujurnya, MCA tidak ada sebarang ‘magis’ untuk merebut kerusi-kerusi maut di Wilayah Persekutuan.

Perkara itu diakui penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir yang me­negaskan masih belum nampak sebarang ‘magis’ boleh dibuat atau di­ciptakan MCA khususnya di kawasan tradisi DAP di Seputeh, Bukit Bintang, Kepong dan Cheras.

MCA masih gagal meraih kepercayaan masyarakat Cina sebagai satu parti politik yang mampu membawa inspirasi dan suara mereka di Parlimen dan juga dalam kerajaan.

Bertambah buruk, mas­ya­rakat Cina masih memandang MCA hanya sebagai pengikut dan bukan pemimpin dalam Barisan Nasional (BN).

Pendapat Salawati disokong seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman yang berpendapat kerusi-kerusi maut di Wilayah Persekutuan agak sukar berubah kerana pe­ngundinya merupakan golo­ngan kelas menengah terutama masyarakat Cina bandar.

“Mereka lebih selesa menyokong DAP berbanding MCA kerana bagi mereka, parti itu lebih banyak fokus isu tadbir urus berbanding isu kemudahan asas dan kebanyakan mereka di bandar sudah menikmati kemudahan asas tersebut,” katanya.

MCA boleh mencipta ‘magis’ untuk menang kerusi tersebut dalam PRU-15 sekiranya mereka mampu menarik undi masyarakat Cina di bandar untuk menukar selera, namun ia tentunya tidak semudah disuarakan.

“Ini kerana pengundi Cina lebih memilih DAP atau PH kerana mereka percaya dengan memilih PH ia meraikan kepelbagaian etnik sebagaimana PKR dan DAP manakala MCA hanya bergantung kepada undi Melayu yang tak mencerminkan soko­ngan masyarakat Cina sebenar,” jelas Awang.

Cakap-cakap politik PRU-15 semakin hangat diperkatakan. Namun, di mana MCA ketika ini? Apakah sudah cukup bersedia untuk berentap atau ha­nya sekadar mengisi slot nama calon? MCA perlu jawab dalam bentuk yang kritis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN