Masyarakat Cina banyak menyumbang pembangunan ekonomi negara - PM - Utusan Malaysia

Masyarakat Cina banyak menyumbang pembangunan ekonomi negara – PM

MUHYIDDIN Yassin menyampaikan perutusan sempena Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina secara maya, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masyarakat Cina di Malaysia banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Kata Perdana Menteri, rantaian ekonomi itu merangkumi industri pelancongan, seni dan budaya negara yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan menarik dalam kalangan pelancong asing.

Justeru, kata beliau, semua pihak perlu bersama-sama terus memelihara dan memulihara kekayaan warisan seni serta budaya pelbagai kaum yang menjadi aset kebanggaan bersama.

“2020 adalah tahun yang sukar dan memberi banyak pengajaran buat semua di sebalik pandemik Covid-19 dan seperti negara-negara lain, Malaysia turut berdepan dengan situasi cukup luar biasa,” katanya ketika berucap sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina norma baharu 2021 secara maya, malam tadi.

Namun, jelas Muhyiddin, kerajaan terus menggiatkan usaha untuk mengimbangi antara aspek kelangsungan hidup dan ekonomi negara.

“ Pada masa sama tidak boleh berputus asa ibarat seekor lembu yang sentiasa bertenaga dan bersedia membajak serta berbakti kepada tanah. Kerajaan prihatin dan sentiasa mendengar pandangan dan keluhan mereka yang terkesan akibat pandemik ini.

“Oleh sebab itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi dan yang terbaharu, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sambutan perayaan melalui program Majlis Rumah Terbuka anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang diadakan setiap tahun sememangnya menjadi antara wadah perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.

Kata beliau, ia bukan sahaja menghangatkan kemeriahan sambutan perayaan berbilang bangsa, malah dapat menzahirkan rasa saling menghormati dan menghargai perbezaan kaum dan budaya dalam kalangan masyarakat.

Malah, beliau berkata, Malaysia ibarat kepelbagaian ramuan dan rasa dalam ‘Yee Sang’ yang penuh berwarna-warni, terkenal dengan masyarakat majmuk yang menyambut perayaan berbeza setiap tahun.

Kata beliau, kepelbagaian itu menjadi kebanggaan sebagai rakyat yang mana dapat meraikan bersama-sama setiap perayaan dengan penuh semangat perpaduan dan keharmonian.

“Sambutan Tahun Baharu Cina tidak lengkap tanpa tradisi pemberian angpau untuk anak-anak kecil serta saudara mara yang belum berkahwin. Amalan makan malam bersama ahli keluarga turut menjadi kebiasaan semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

“Memandangkan risiko jangkitan Covid-19 masih wujud dalam komuniti kita, maka saya fikir wajar untuk kita menyesuaikan amalan dan tradisi sambutan perayaan dalam bentuk yang lebih inovatif iaitu menerusi teknologi digital seperti aplikasi e-Angpau,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap sambutan Tahun Baharu Cina dapat diraikan bersama keluarga tersayang walaupun pertemuan secara fizikal adalah terhad buat masa ini.

Namun, katanya, teknologi yang ada pada hari ini harus dimanfaatkan untuk mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain selain mematuhi segala garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada setiap masa. – UTUSAN ONLINE

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya