Kerajaan perlu kawal kenaikan harga komputer riba, tablet - CAP

Kerajaan digesa kawal kenaikan harga komputer riba, tablet 

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan segera mengawal harga komputer riba dan tablet yang kini dikesan mengalami peningkatan harga sehingga 25 peratus di pasaran. 

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima laporan tablet mampu milik berjenama yang sebelum ini berharga RM399 kini dijual pada harga RM599 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

Menurut beliau, komputer riba dan tablet sangat diperlukan oleh pelajar untuk mengikuti kelas online memandangkan jadual persekolahan mereka terjejas sejak pertengahan Mac tahun lalu. 

“CAP menerima aduan berlaku kenaikan harga sehingga 25 peratus bagi tablet dan peningkatan harga ini mesti segera dikawal oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, peniaga memberi alasan kenaikan harga berlaku disebabkan kekurangan stok dan kenaikan kos logistik dari negara pengeluar. 

Ujarnya, alasan itu tidak dapat diterima kerana pengilang barang-barang tersebut merupakan syarikat yang berskala besar sekali gus tidak berdepan masalah berkenaan. 

“Peniaga harus menurunkan margin keuntungan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat pada masa-masa yang sukar ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohideen berkata, daripada tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada Mac 2020, terdapat masalah serius melibatkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). 

“Tinjauan dilakukan dalam kalangan 670,000 ibu bapa serta sekitar 900,000 murid dan hasilnya mengejutkan. 

“Hanya enam peratus pelajar yang mempunyai komputer dan tablet peribadi; sembilan peratus mempunyai komputer riba; dan 46 peratus memiliki telefon pintar sementara 36.9 peratus tidak mempunyai sebarang peranti,” katanya. 

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan harus mempercepatkan pengedaran komputer riba dan tablet kepada pelajar yang memerlukan. 

“Perkhidmatan Internet juga mesti ditingkatkan dan disediakan di seluruh negara demi pendidikan generasi masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.