82 burung bernilai RM100,000 dirampas - Utusan Malaysia

82 burung bernilai RM100,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 82 ekor pelbagai spesies burung bernilai RM100,000 dalam serbuan di sebuah premis di Seri Kembangan, Ahad lalu.

Serbuan kira-kira pukul 2.45 petang itu dijalankan sepasukan anggota penguatkuasaan Perhilitan Negeri Selangor.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, siasatan awal mendapati pemilik premis menyimpan kesemua spesies hidupan liar tersebut tanpa sebarang dokumen penyimpanan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan.

“Tujuh spesis burung terdiri daripada 60 ekor burung Mata Putih Timur, 11 ekor burung Pikau, burung Tiong Mas (empat ekor), burung Bayan Serindit (tiga ekor), burung Daun (dua ekor) dan masing-masing seekor burung Pucung Kuak serta burung Bayan Nuri ditemukan.

“Kesemua jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM100,000,” katanya di sini semalam.

Abdul Kadir berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemilik kedai terbabit.

Ujarnya, kesemua barang kes dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya.

“Satu laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan kes disiasat Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN