KERUSI Parlimen Putrajaya agak ‘panas’ apabila tiga nama disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon UMNO di kawasan pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.
Bagaimanapun, dua daripada nama itu bukanlah anak jati Putrajaya atau sekurang-kurangnya dari Lembah Klang.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dijangka diletakkan di Putrajaya berikutan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen berkenaan.
Ekoran itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi perlu mencari kerusi lain untuk bertanding.
Selain Khairy, turut dinamakan akan berentap di Putrajaya ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut mengintai peluang di situ.

Pada PRU-14 lalu, Asyraf kalah di Parlimen Pasir Puteh kepada calon Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Mengambil kira pertimbangan Muafakat Nasional (MN), Pas pasti akan mempertahankan kerusi Pasir Puteh.
Walaupun dilihat sebagai calon underdog, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz tidak boleh dipandang enteng untuk dipertimbangkan sebagai calon Parlimen ini.
Ini kerana Tun Faisal sudah dikenali dalam kalangan pengundi di Putrajaya atas kapasiti jawatannya berkhidmat bersama Ahli Parlimen, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sejak tahun 2004, Tun Faisal, 50, berpengalaman luas dalam kepimpinan politik di Putrajaya bermula sebagai Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Bahagian Putrajaya sebelum dilantik Exco Pergerakan Pemuda UMNO (2009-2013).
Menyandang kerusi selama empat penggal berturut-turut, Tengku Adnan, bekas Menteri Wilayah Persekutuan tidak lagi akan bertanding kerana sedang berdepan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.
Apatah lagi, kedudukannya sebagai Ahli Parlimen ketika ini bakal hilang kelayakan sekiranya didenda lebih RM2,000.
Sumber turut mendakwa, walaupun jelas Ku Nan tidak akan bertanding, beliau difahamkan cuba mempertahankan legasinya dengan mahu mengangkat anaknya, Dr. Tengku Iqbal Tengku Mansor yang kini merupakan Ketua Pemuda UMNO Putrajaya.
“Sebab itu pelbagai program dekati rakyat di Putrajaya ketika ini, Ku Nan banyak menonjolkan anaknya. Jika benar anak beliau akan dipilih sebagai calon, tindakan itu akan menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat bahawa UMNO parti anak-beranak,” kata sumber.
Jumlah pemilih di Putrajaya adalah sekitar 30,000 orang dengan 96 peratus daripadanya adalah Melayu selain sebahagian besarnya penjawat awam.
Berbanding keahlian parti lain, UMNO memiliki 7,902 ahli sekali gus mengatasi keahlian parti-parti lain.
Jika mengambil kira pengundi muda (21 hingga 39 tahun) di kawasan itu berjumlah 16,764 orang, belum lagi termasuk pengundi automatik 18 tahun, aura Khairy, 45, lebih mendapat tempat dalam kalangan golongan itu.
Asyraf Wajdi pula yang berperwatakan agama selain pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi kelebihan kepadanya untuk menarik sokongan pengundi Melayu Islam.
Apapun, keputusan di tangan pucuk pimpinan parti untuk meletakkan siapa yang lebih layak menggantikan Ku Nan yang tidak pernah kerusi Putrajaya jatuh kepada pihak lawan. -UTUSAN











